HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Disember 2018

'Usul PM sepenggal perlu di bawa ke Majlis Presiden PH'

 
   

AGM Bersatu |  Cadangan agar Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri selama sepenggal perlu dibawa ke Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Seperti yang saya tekankan sebelum ini saya rasa usul-usul seperti ini memang datang daripada akar umbi dan harus dibincangkan dalam majlis presiden PH.

“Pemuda Bersatu akan beri sokongan penuh kepada Tun mengikut cita rasa Tun. Kita kena dengar (pandangan) Tun dan kita akan sokong Tun,” katanya kepada pemberita di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Beliau merujuk kepada cadangan daripada Bersatu bahagian Setiawangsa agar Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga penggal berikutnya.


Kata Syed Saddiq, perkara itu bukanlah pertama kali dibangkitkan.

Sebelum ini Anwar dinamakan Mahathir sebagai individu yang akan menggantikannnya sebagai perdana menteri.

Cadangan agar Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga penggal berikutnya juga pernah dibangkitkan sebelum ini oleh Bersatu bahagian Setiawangsa.

Bagaimanapun, pada 3 Nov lalu, Mahathir berjanji akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar selepas dua tahun.

Berkongsi pendapat senada, Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir berpendapat perdana menteri perlu diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk memperbetul keadaan negara yang teruk sebelum menyerahkan jawatannya kepada pengganti.

“Ya saya sendiri secara peribadi memanglah rasa ia satu cadangan yang baik kerana sepertimana yang pernah saya nyatakan sebelum ini kita mewarisi satu kerajaan yang teruk, hendak memulihkannya bukan satu perkara yang mudah,” katanya.

Seperti Syed Saddiq, anak lelaki Mahathir itu bersetuju agar perkara tersebut dibawa untuk dibincangkan di peringkat Majlis Presiden PH.

Tak bercanggah rancangan lantik Anwar

Disoal sama ada usul itu bercanggah dengan rancangan bagi melantik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri selepas dua tahun PH membentuk kerajaan, Mukhriz menafikannya.

“Setakat apa yang saya tahu ia tidak kontradik kerana kita masih merancang untuk Anwar menjadi perdana menteri selepas Mahathir, isunya adalah waktu.
“Kita pastikan semua apa yang kerajaan perlu selesaikan dahulu, dan kemudian baru kita rasa selesa dengan situasi itu (untuk menyerahkan jawatan perdana menteri),” katanya lagi.

Terdahulu, salah seorang perwakilan dari Kelantan Bersatu mencadangkan agar jawatan perdana menteri yang disandang Dr Mahathir Mohamad dikekalkan sehingga PRU-15.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, salah seorang anggota Majlis Kepimpinan Tertinggi Bersatu mengulangi pendirian Bersatu untuk menyokong peralihan kuasa yang telah dipersetujui sejak penubuhan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu.

Tiada ulasan: