HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Disember 2018

Henti perbalahan dalam masa 24 jam, amaran dari Tian Chua

Shawaliah Hadir
xMGF_IPD_DANGWANGI_03-1-681x453
Tian Chua

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran yang bertelagah dan Rozan Azen Mat Rasip diberikan tempoh 24 jam untuk menamatkan pertelagahan mereka dan memohon maaf antara satu sama lain.

Gesaan yang disuarakan oleh Ketua Cabang Batu, Tian Chua muncul setelah kedua-dua mereka dilihat bertelagah antara satu sama lain di di atas isu peletakan jawatan Setiausaha Ahli Parlimen Baru itu.

Dalam masa yang sama Tian Chua mengarahkan kedua-dua mereka berhenti membesar-besarkan isu ini dengan menyebarkan kenyataan menerusi sosial media.

“Rozan dan Praba dibagi 24 jam untuk tarik balik kenyataan-kenyataan yang disiarkan sebelum ini dan memohon maaf kepada satu sama lain.

“Saya tidak mahu lihat perkara yang sama diulang semula. Pohon semua Ahli Jawatankuasa (AJK) dan anggota cabang menyokong pendirian saya.

“Tamatkan semua perselisihan secara publik serta merta… Hentikan segala penyibaran mesej tentang perkara ini sama ada dlm media atau WhatsApp,” katanya menerusi kenyataan media.

Terdahulu pada 22 Disember yang lalu, Rozan Azen Mat Rasip mendedahkan sudah tiada kesefahaman dengan Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran sehingga memaksanya meletakkan jawatan.

Bahkan beliau mendakwa wujudnya campur tangan dalam tugasan harian mereka oleh segelintir pihak berkepentingan sehingga menyebabkan dirinya terpaksa mengambil keputusan sedemikian rupa.

P. Prabakaran pula semalam menafikan pernah melantik Rozan sebagai setiausahanya, sebaliknya menegaskan tugas Naib Ketua PKR Cabang Batu itu hanyalah penyelaras aduan bagi pejabat Parlimen Batu.

Tian Chua dalam pada itu menganggap Prabakaran tidak sepatutnya berkata demikian kerana perbalahan di antara mereka hanya akan memburukkan imej PKR di Parlimen tersebut.

“Saya juga sudah nasihatkan beliau tidak keluar sebarang kenyataan lanjutan. Namun malangnya satu lagi kenyataan akhbar dikeluarkan lagi oleh Praba.

“Pada pandangan saya kenyataan tersebut mengandungi bahasa yg sangat tidak sopan. Saya boleh maafkan beliau kerana kemungkinan ahli Parlimen kita masih muda.

“Tetapi perbalahan berterusan ini bukan saja memburukkan imej parti di Parlimen Batu, ia juga menjejas mutu perkhidmatan kita kepada pengundi awam di dlm kawasan Batu.,” tambah Tian Chua yang pernah menyandang jawatan sebagai Ahli Parlimen Batu sebelum ini.-MalaysiaGazette




Tiada ulasan: