Dihentam, disiasat polis dan diancam saman, Azwanddin Hamzah berkata beliau tidak akan mengendur dalam isu kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.
“Saya akan terus lantang dan tegas berkaitan isu Adib saya juga akan terus memberikan amaran yang keras,” tulis presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) di Facebooknya awal petang ini.
Polis hari ini memberitahu Malaysiakini mereka sedang menyiasat ucapan “berapi-api” Azwanddin di Klang, semalam, bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Dalam ucapan di hadapan kira-kira 2,000 orang itu, dia antaranya mengugut menyerang balai polis jika pihak menyebabkan rusuhan berhampiran kuil Hindu di Subang Jaya tidak ditangkap.
Dalam perhimpunan sama, Azwanddin juga menggelar menteri perpaduan P Waythamoorthy sebagai “paria” dan mengaitkan Menteri Industri Utama Teresa Kok dengan kontroversi rumah ibadat lama itu.
Teresa selepas itu mengumumkan akan menyaman Azwanddin.
'Perlu jadi kurang ajar'
“Kita tidak perlu takut dan gentar.
"Umat Melayu Islam perlu juga menjadi kurang ajar untuk mengajar kumpulan bangsa DAP yang selama telah terlalu keterlaluan,” kata aktivis antikerajaan itu.
“Andai kata ada kumpulan yang tidak bersetuju dengan kelantangan dan ketegasan saya itu tidak menjadi permasalahan pada saya kerana saya yakin lebih ramai lagi umat Melayu dan Islam dalam negara akan menyokong saya untuk mempertahankan umat Melayu dan Islam dalam negara kita hari ini.”
Beliau berkata apa yang dilakukannya bukan atas kepentingan peribadi tetapi perjuangan pada agama dan bangsa serta untuk generasi kita akan datang
“Kepada bangsaku, kita hanya perlu takut pada Allah dan kedua ibu bapa kita. Selain dari itu kita perlu bangkit tegakkan keadilan,” tulisnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan