HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Disember 2018

Kerajaan PH terus bebankan rakyat

SHAHIR ADNAN

MANIFESTO Pakatan Harapan adalah untuk menstabilkan harga minyak. Rakyat seluruh Malaysia termakan dengan janji manis tersebut dan memenangkan Pakatan Harapan sehingga menjadi kerajaan. Namun, kerajaan seharusnya membantu rakyat, bukan terus membebankan rakyat.
 
Dewan Pemuda IKATAN Malaysia memandang serius kesusahan yang terpaksa dilalui oleh rakyat pada hari ini. Dengan isu barang naik yang masih tidak berkesudahan, walaupun dengan sistem cukai SST, rakyat kini dibebankan dengan harga minyak yang tidak turun. Walhal, harga minyak dunia turun sehingga paras USD60 untuk satu barrel.
 
Dewan Pemuda IKATAN Malaysia telah membuat pengiraan harga minyak RON 95 berdasarkan harga minyak dunia terkini. IKATAN dan PAS di dalam Pemuda Gagasan Sejahtera terdiri daripada golongan profesional yang mampu membuat pengiraan tersebut, tanpa bantuan pihak Pakatan Harapan, seperti dihebahkan oleh Rafizi Ramli. Untuk mendapatkan harga satu liter RON 95, pengiraan tersebut termasuklah harga kos actual refined oil (berdasarkan harga MOPS), alpha, kos operasi, margin syarikat minyak, dan margin pembekal/pengusaha stesen minyak.
 
Berdasarkan harga MOPS dari bulan Oktober ke Disember, harga minyak satu barrel telah jatuh dari USD82 kepada USD60. Mengikut pengiraan terkini menggunakan harga minyak USD60 satu barrel, selepas memasukkan keseluruhan kos dan margin keuntungan, harga minyak di stesen minyak dianggarkan RM1.90 untuk seliter. Ini menunjukkan bahawa rakyat telah membayar 30 sen setiap liter kepada kerajaan Pakatan Harapan sejak 20 November 2018.
 
Setelah membuat mengiraan lebih terperinci, kerajaan sebenarnya tidak perlu membayar subsidi minyak apabila harga minyak USD70 setiap satu barrel. Berdasarkan maklumat ini, dianggarkan harga minyak USD70 sejak 8 November 2018. Kerajaan sebenarnya mempunyai masa selama 2 bulan untuk memberitahu rakyat dan mengurangkan beban rakyat dengan menurunkan harga minyak di stesen minyak, tetapi YB Menteri dan Kerajaan memilih untuk diam membisu dan menindas rakyat.
 
Dewan Pemuda IKATAN Malaysia mewakili Pemuda Gagasan Sejahtera menggesa YB Menteri bersikap telus dan prihatin dengan kesusahan yang dialami rakyat. Kami menggesa harga minyak diturunkan mengikut perkiraan harga minyak dunia. Pemuda Gagasan Sejahtera juga melihat Pemuda Harapan diam membisu dengan isu sebegini.
 
Hal ini hanya dibangkitkan oleh golongan “Senior” Pakatan Harapan seperti Rafizi Ramli, yang tidak mempunyai jawatan di dalam Pakatan Harapan. Adakah Pemuda Harapan tidak pandai membuat pengiraan sebegini? Kami di Pemuda Gagasan Sejahtera boleh membantu mereka di dalam Kerajaan.
 
Demi Bangsa Malaysia!
 
*SHAHIR ADNAN , Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera

Tiada ulasan: