HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Disember 2018

Fasa pertama Bantuan Sara Hidup diterima mulai 28 Jan




Bayaran BSH akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank isi
rumah yang layak.

PETALING JAYA: Pembayaran program Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah untuk golongan B40 akan mula dilaksanakan pada 28 Januari tahun depan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.


Lim berkata, pembayaran BSH 2019 yang dijangka memanfaatkan sehingga 4.1 juta isi rumah itu akan menggunakan pangkalan data lama dan kaedah lama yang digunakan sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Pihak Kerajaan terpaksa menggunakan pangkalan data lama yang kemungkinan besar mengandungi nama penerima yang tidak layak, bagi membolehkan bayaran dibuat cepat sebelum Februari 2019,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Lim, proses pemutihan bagi mengeluarkan nama penerima yang bukannya daripada golongan B40 memerlukan masa panjang untuk dilaksanakan.

“Pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2 Bilion. Bayaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank mereka,” katanya.

Jelasnya, setelah pangkalan data dikemaskini, baki bayaran BSH yang akan disalurkan pada fasa ke-2 dan ke-3 menggunakan kaedah baru seperti diumumkan dalam Belanjawan 2019.

“Proses kemas kini data perlu dilaksanakan untuk pembayaran BSH 2019 fasa ke-2 dan ke-3 selaras dengan penambahbaikan Program BSH secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah.

“Kriteria pembayaran dan kaedah baru akan diumumkan dalam jangka masa yang terdekat,” katanya.

Pada November lalu, Lim mengumumkan BSH kepada golongan isi rumah berpendapatan 40% terendah akan diteruskan dengan penyaluran peruntukan lebih bersasar.

Katanya, kadar BSH yang ditentukan bagi golongan isu rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah ialah RM1,000.

“Isi rumah berpendapatan bulanan daripada RM2,001 hingga RM3,000 ke bawah pula akan menerima bantuan berjumlah RM750.

“Isi rumah berpendapatan bulanan daripada RM3,001 hingga RM4,000 akan diberikan bantuan bernilai RM500.

“Kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah juga disediakan, namun terhad kepada 4 orang,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019.

Tiada ulasan: