HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Disember 2018

Tanpa PAS dan hudud, PH tetap bergaduh juga

Oleh Timmy Say



Sebelum berpecahnya Pakatan Rakyat (PR), Penasihat DAP Lim Kit Siang sudah membayangkan kemungkinan pakatan yang dibarisi oleh DAP, PAS dan PKR akan berpecah dan membawa haluan masing-masing jika PAS berdegil mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Hakikatnya “kedegilan” PAS untuk melaksanakannya tidak pernah padam sejak Allahyarham Nik Abdul Aziz menjadi menteri besar Kelantan pada 1990, malah menjadi matlamat kerajaan negeri itu sehingga hari ini.

Beralaskan persepsi yang dimainkan itu, PAS dan hudud sering dituduh sebagai punca perbalahan PR sehingga menyebabkan pecahnya gabungan pembangkang itu. Persepsi itu dimainkan sehingga ramai yang percaya jika gabungan pembangkang tanpa “pak lebai” PAS yang inginkan hudud, sudah tentu gabungan pembangkang itu akan aman damai dan utuh.
Tapi tak apa. PR sudah pun terkubur.

Kini ada Pakatan Harapan (PH). Di dalamnya, DAP kini sedang berkawan dengan PPBM, yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad yang sememangnya tidak bersetuju dengan hudud dan PAS; Amanah yang juga kurang bersetuju dengan hudud dan bermusuh dengan PAS dan PKR, sahabat lamanya daripada PR yang sudi bersama DAP meninggalkan PAS.

Sepatutnya, gabungan PH utuh sebab di dalamnya tiada lagi PAS dan agenda hudud. Tetapi malangnya, ia tidak begitu.

Beberapa hari lepas, Lim Kit Siang memberikan amaran lagi. Katanya, DAP tidak akan teragak-agak meninggalkan kerajaan campuran PH jika usaha mencapai tujuan Malaysia Baru diketepikan.

Dari mana datangnya asap ini? Di mana apinya?

Terdapat 4 keputusan kerajaan PH muktahir ini yang dilihat bercanggah dengan perjuangan DAP.
Pertamanya, kegagalan kerajaan PH mengiktiraf Sijil Peperiksaaan Bersepadu Sekolah Persendirian Cina (UEC) sebagaimana yang dijanjikan di dalam manifesto pilihan raya gabungan politik itu.

Kedua, kegagalan kerajaan PH untuk bertegas dalam meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ketiga, pendirian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menolak untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan atas alasan ia akan menimbulkan kepada konflik perkauman sejurus tercetusnya insiden rusuhan kuil di USJ25, Subang Jaya.

Perkara keempat yang mencetuskan ketegangan antara DAP dan PPBM baru-baru ini ialah penhijrahan “katak politik” yang menjadi-jadi daripada Umno kepada PPBM, meskipun DAP tidak pernah membantah penghijrahan orang PAS ke Amanah satu ketika dulu.

Akan tetapi, apakah yang dimaksudkan oleh Kit Siang mengenai istilah Malaysia Baru? Apakah tanpa UEC, ICERD dan pilihan raya kerajaan tempatan, maka Malaysia Baru dianggap gagal di mata beliau?

Kalau ditanyakan kepada rakyat tentang Malaysia Baru, sudah pasti kebanyakan mereka percaya Malaysia Baru ialah sejenis strategi pusingan-U pentadbiran PH yang entah ke mana berdasarkan prestasi 8 bulan pertamanya.

Perkara paling menjelekkan ialah tanggungjawab kerajaan PH terhadap manifesto yang digunakan untuk memenangi pilihan raya umum ke-14 yang menyaksikan hampir kesemua yang ditulis menjadi sekadar kertas rujukan, bukannya janji yang perlu ditunaikan.

Tapi percayalah, asap Kit Siang ini bukan sebarang asap. Ada anak api yang sedang membara.

Dalam pada itu, Rafizi Ramli menggunakan anak api ini untuk melancarkan serangan pertama terhadap Dr Mahathir dengan mengatakan populariti beliau menurun sebanyak 20% semenjak PH menawan kerajaan.

Bakal perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menggunakan peletakan jawatan mengejut anaknya Nurul Izzah daripada semua jawatan penting untuk melancarkan serangan terhadap Ahli Parlimen Umno yang sedang melompat ke arah PPBM.

Menariknya, punca sebenar Nurul meletak jawatan masih misteri. Mengapa beliau enggan terus berkhidmat sehingga bapanya menjadi PM sebelum mengundurkan diri akan terus menjadi tanda tanya.
Apakah ini protes terhadap Dr Mahathir atau bapanya sendiri?

Perang dalaman PH kini tertumpu pada desakan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorty supaya meletak jawatan kerana ramai yang tidak berpuas hati dengan cara beliau mengendalikan isu ICERD dan insiden rusuhan kuil USJ25.

Isu ini sudah menjadi pertarungan utama antara PPBM dan DAP.

Para pemimpin PPBM, termasuk orang kuat Dr Mahathir, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq dan Datuk A Kadir Jasin telah secara terbuka mendesak Waytha supaya meletak jawatan, manakala para pemimpin DAP pula, termasuk anak mendiang Karpal Singh iaitu Ramkarpal setia mempertahankannya bersama peguam Siti Kasim.

Bagaimana pula dengan pendirian PKR dan Amanah? Bagaimana pula pendirian Anwar dalam isu ini? Fraksi Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Dr Afif Bahardin telah menyatakan pendirian untuk menyokong PPBM dan turut serta mendesak Waytha meletak jawatan.

Bagaimanakah kesudahan episod ini? Apakah Waytha dapat kekal dalam Kabinet, atau beliau meletakkan jawatan atau dipecat oleh Dr Mahathir?

Nasib yang menimpa Waytha akan menentukan siapakah yang berkuasa dalam PH, membuka mata rakyat, sekali gus mencorakkan perbalahan politik dalaman pakatan itu selanjutnya. 
 
 

Tiada ulasan: