KUANTAN: Polis hari ini mengesahkan rasa tidak puas hati sebagai punca pergaduhan antara kakitangan gerai di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang dengan pemandu bas ekspres yang videonya tular di laman sosial.
Ketua Polis Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata laporan polis oleh kakitangan gerai mendakwa berlaku sedikit perselisihan faham antara mereka dengan pemandu bas, namun tidak menyebut ada memukul pemandu bas itu.
“Polis juga menegaskan kejadian itu bukan melibatkan pergaduhan antara kaum seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya disebabkan rasa tidak puas hati pihak terlibat,” katanya semasa dihubungi hari ini.
Noor menambah setakat ini, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Beliau menambah polis juga mengenal pasti 5 individu terlibat dalam kejadian itu, dan tangkapan berkemungkinan dilakukan dalam masa terdekat.
Pemandu bas itu juga telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut di Kuala Terengganu, Terengganu, katanya.
Video berdurasi seminit 48 saat itu yang tular hari ini, menunjukkan pergaduhan antara kakitangan R&R dengan seorang pemandu bas ekspres yang dikatakan berlaku pada pukul 1.30 pagi semalam.
Pemegang konsesi Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) Anih Berhad dalam kenyataan media hari ini mengesahkan sedang menjalankan siasatan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas kakitangan terlibat, jika disabitkan bersalah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan