HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Disember 2018

Maszlee, Rina, Syed Saddiq jadi bahan Tun Mahathir

Muhammad Azizul Osman

xMGF30122018_PERHIMPUNAN-PPBM48-681x454
Gelagat Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa memberi ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK
 

PUTRAJAYA – Menutup ucapan penggulungan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) di Perhimpunan Agung Tahunan (PAT), Tun Dr Mahathir Mohamad menjadikan isu yang dihadapi oleh beberapa menterinya sebagai bahan jenakanya.

Dalam nada seloroh, Dr Mahathir berkata beliau bimbang Menteri Pendidikan, Maszlee Malik akan dicemuh dan dikritik berdasarkan isu semasa yang di depani beliau.

“Menteri Pendidikan tadi telah jawab panjang dan lebar, saya khuatir dia kena belasah lagi, dah la (sekarang) isu kasut hitam orang tidak suka, modul berenang pun tidak boleh.

“Ini nak bercakap di khalayak yang ramai ini, orang ini bukan senyap-senyap sahaja, silap cakap dia akan akhirnya ucapan terus,

“Tapi Alhamdulillah Menteri Pendidikan dapat banyak tepukan.

“Demikian juga dengan Rina Harun, saya khuatir tapi ramai juga yang tepuk, pada Syed Saddiq saya tidak payah kata apa, itu kerja dia berucap.

“Cakap adalah kerja Syed Saddiq, lebih daripada saya bercakap,” katanya menerima tepukan daripada pada perwakilan.

Maszlee ketika itu membahaskan Ucapan Dasar Pengerusi.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu didepani pelbagai isu antaranya pelaksanaan kasut dan stokin hitam di peringkat sekolah.

Julai lalu, Maszlee mengumumkan pelaksanaan pemakaian kasut hitam bagi semua murid sekolah akan bermula tahun depan.

Ketiga-tiga mereka dilantik menyertai Kabinet Dr Mahathir pada 2 Julai lalu di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Maszlee dilantik sebagai Menteri Pendidikan, Datuk Ser Rina Harun dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan. -MalaysiaGazette.


Tiada ulasan: