HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Disember 2018

MAHB kesal tikus berkeliaran di KLIA2

MALAYSIAKINI

   
Rakaman klip video yang memaparkan seekor tikus berkeliaran di ruang menunggu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) mendapat perhatian Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selepas ia dilaporkan media.

MAHB melalui kenyataan hari ini berkata, pihaknya kesal dengan perkara berkenaan dan berjanji akan mengambil tindakan segera.

“Ingin ditegaskan bahawa pihak kami mengambil serius aduan ini dan sebaik sahaja dimaklumkan.

“Langkah pembasmian tambahan telah diambil dengan meletakkan sejumlah perangkap tikus di kawasan yang terbabit serta dengan menjalankan pemeriksaan tambahan untuk menutup mana-mana laluan yang mungkin bagi haiwan perosak memasuki bangunan terminal,” menurut kenyataan tersebut.

Semalam, media melaporkan perkongsian seorang pengguna media sosial yang memuat naik klip video yang dirakam pada 28 Dis lalu memaparkan seekor tikus berkeliaran di ruang menunggu KLIA2.
 
Isu kebersihan di lapangan terbang tersebut sudah beberapa kali dipersoalkan.

Minggu lalu, tular di laman sosial video dimuat naik Ketua Perhubungan AirAsia, Mohd Aziz Laikar yang menunjukkan sebuah tong sampah dipenuhi ulat di balai berlepas KLIA2.

Susulan itu, MAHB membuat laporan polis dan Aziz dipanggil memberi keterangan kerana didakwa mencalar imej MAHB. Bagaimanapun, janji temu untuk mengambil keterangan tersebut dibatalkan pada saat akhir.

 Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes membidas tindakan MAHB dalam menangani isu berkenaan.

"Sangat merepek dan menyedihkan apabila dengan semua perubahan yangs edang berlaku di Malaysia, dalam kebebasan membuat pilihan dan bersuara, MAHB kekal dengan cara lama.

"Ini bukan kali pertama kami dilapor kerana mengatakan kebenaran, mereka (MAHB) sentiasa menggunakan budaya membuli dan menakut-nakutkan. Kami tidak bersetuju dengan sikap itu," kata Tony Fernandes melalui Facebook 24 Dis lalu.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, MAHB berkata pihaknya di bawah seliaan Bahagian Kawalan Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan Malaysia menjalankan aktiviti pengawalan serangga secara berkala dua minggu sekali di seluruh bangunan terminal bagi membasmi serangga dan haiwan perosak.

Tiada ulasan: