HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Disember 2018

Bekalan petrol dan diesel di Perlis mencukupi – KPDNKK

THE MALAYSIAN TIMES
 


KANGAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis memberi jaminan bekalan petrol dan diesel di negeri itu mencukupi menjelang 1 Jan apabila harga bahan bakar itu dijangka berubah.

Penolong Pengarah (Pengkuatkuasaan) KPDNKK negeri, Mohd Rizab Baharom berkata berdasarkan rekod, 29 daripada 33 stesen minyak di seluruh negeri yang diperiksa sejak dua hari lepas, didapati mempunyai bekalan mencukupi.

“Saya berharap pengguna tidak membuat pembelian panik dan hendaklah membuat aduan jika ada stesen yang menutup operasi mereka,” katanya kepada media selepas memeriksa dua buah lagi stesen minyak di sini, hari ini.

Mohd Rizab berkata penyeludupan bahan bakar itu ke negara jiran juga turun dengan drastik berikutan peningkatan operasi pengkuatkuasaan dan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa lain di kawasan sempadan.

Pengusaha stesen minyak yang ingin menutup atau memendekkan operasi juga tidak dibenarkan kecuali selepas mendapat kelulusan Pejabat KPDNKK.

Mengenai isu kenaikan harga makanan di restoran francais KFC, beliau berkata pihaknya menyerahkan notis kepada empat cawangan syarikat itu di Perlis hari ini untuk mendapatkan maklumat balas sebab harga dinaikkan dan pengusaha diberi tempoh lima hari untuk menjawabnya sebelum tindakan lanjut diambil terhadap mereka.

Pengguna yang mengesan kenaikan itu pada 1 Dis lepas, memuatnaik dalam media sosial. Kenaikan kali kedua dikesan pada 20 Dis. Mengikut laporan kenaikan itu adalah antara 30 sen sehingga RM2.50 sen.– Bernama

Tiada ulasan: