HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Disember 2018

Polis akan siasat Azwanddin mahu ‘serang’ balai polis

Presiden JMM Azwanddin Hamzah (atas pentas) didakwa melakukan 
ugutan jenayah menerusi ucapannya, semalam.

PETALING JAYA: Polis akan menyiasat Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah berhubung kenyataan berunsur provokasi sewaktu berucap pada Perhimpunan Aman Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat P Waytha Moorthy di Klang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, siasatan terhadap Azwanddin sudah dibuka dan akan disiasat bawah ugutan jenayah.

“Siasatan telah dibuka bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya kepada FMT.

Semalam, penganjur tunjuk perasaan menuntut keadilan untuk Muhammad Adib Mohd Kassim memutuskan tidak lagi mengundang Azwanddin berucap di pentas mereka kerana mengeluarkan ucapan yang sangat keras.

Penganjurnya, Abu Bakar Mohamed dari Himpunan Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) berkata, Azwanddin mengingkari syarat-syarat perhimpunan aman iaitu tidak melakukan provokasi semasa berucap.

Sebelum itu, Azwanddin dalam ucapannya mencadangkan nama Waytha ditukar kepada panggilan “p*r*a” dan akan “serang” balai polis jika pemaju dalam isu kuil itu tidak ditangkap.

Abu Bakar berkata Azwanddin sudah meminta maaf kepada penganjur dan akan membuat kenyataan maaf kepada polis.

Tunjuk perasaan semalam menyaksikan lebih 1,000 orang berhimpun menuntut keadilan untuk Adib, anggota bomba yang meninggal dunia kerana cedera dalam rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman bulan lepas.

Mereka turut mengemukakan 7 tuntutan kepada kerajaan, termasuk memecat Waytha, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan Exco Selangor, V Ganabatirau.

Tiada ulasan: