HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Disember 2018

Kertas siasatan kes kuil Sri Maha Mariamman dihantar ke DPP – KPN

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR; Kertas siasatan berhubung kes rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada 27 Nov lepas, telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata kertas siasatan berkenaan diserahkan pada Isnin lepas dan polis kini sedang menunggu arahan selanjutnya daripada DPP berhubung kes ini.

“Kertas siasatan yang dihantar kepada DPP ini merangkumi siasatan kes rusuhan di kuil berkenaan termasuklah kes kematian anggota bomba Muhammad Adib.

“Siasatan kes masih diteruskan dan kami bertungkus-lumus memastikan siasatan kes berkenaan dapat dilengkapkan dengan segera serta mereka yang bertanggungjawan di bawa ke muka pengadilan,” katanya pada sidang media selepas hadir masjlis raikan cinta raja sehari warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Bank Muamalat di Pusat Latihan Polis, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai laporan penuh berhubung bedah siasat Muhammad Adib, Mohamad Fuzi berkata laporan berkenaan masih belum lengkap.

“Laporan bedah siasat (Muhammad Adib) masih belum lengkap dan kami belum terima lagi, apabila sudah lengkap kami akan hantar pada pihak bertanggungjawab untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata setakat ini polis masih mengklasifikasikan kes kematian Muhammad Adib di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala jumlah tangkapan kes berkenaan masih kekal 108 individu.

“Dakwaan masyarakat yang mengatakan polis tidak membuat sebarang tangkapan dan mengambil tindakan berhubung kes itu adalah tidak benar sama sekali.

“Seramai 26 suspek telah dituduh di mahkamah daripada 108 individu ditahan terlibat kes itu dan kami menjangkakan akan ada lebih suspek dituduh pada minggu depan tetapi bergantung kepadq keputusam DPP,” katanya.

Selain itu, beliau berkata seramai 10 suspek telah tampil beri keterangan daripada 66 individu dicari polis sebelum ini bantu siasatan kes berkenaan.

“Masih ada lagi lebih 50 suspek belum tampil kepada kami bantu siasatan kes ini dan kami minta mereka memberi kerjasama dalam menyelesaikan siasatan kes ini,” katanya.

Mengulas mengenai empat suspek kes itu yang telah dituduh dan dibebaskan semula dengan jaminan polis sebelum ini, Mohamad Fuzi berkata polis tidak melakukan tangkapan semula terhadap keempat-empat mereka.

“Saya meminta kepada orang ramai agar tidak lagi memburukkan keadaan dengan mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengaitkan kes ini dengan menyentuh sensitiviti mana-mana kaum.

“Saya berharap orang ramai bersabar dan beri kami masa serta kepercayaan untuk menyelesaikan siasatan kes berkenaaan,” katanya.

Pada Khamis lepas, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Majistret akan melakukan satu inkues bagi menentukan sebab kematian anggota bomba Muhammad Adib.

Perkara berkenaan dimaklumkan sendiri Peguam Negara Tommy Thomas kepadanya melalui perbincangan yang diadakan selepas penemuan dapatan tertentu pihak polis melalui rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak

Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba Subang Jaya cedera parah dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis lalu.—Bernama

Tiada ulasan: