PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM) akan bertemu dengan Kementerian Kewangan esok bagi membincangkan pengumuman kerajaan berhubung langkah menetapkan harga minyak runcit secara mingguan.
Presiden PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, buat masa ini pihaknya tidak mahu membuat sebarang kenyataan berhubung langkah kerajaan itu sehingga pertemuan esok diadakan.
“Esok kita akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan. Tunggu dulu, esok baru boleh tahu.
“Kenyataan semalam sebelum Kementerian Kewangan panggil. (Esok pertemuan), pukul 10 pagi di kementerian.
“Akan jumpa dengan ‘team’ Lim Guan Eng. Beliau bercuti. Memang harap untuk jumpa dia terus,” katanya kepada FMT.
Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, harga runcit produk petroleum, termasuk RON95 dijangka turun mulai 1 Jan 2019 sekiranya trend penurunan harga minyak dunia berterusan.
Beliau berkata, ini berikutan kaedah penetapan harga secara bulanan di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM) akan digantikan dengan penetapan harga jualan runcit secara mingguan dalam keadaan harga minyak dunia mengalami penurunan.
Katanya, ini membolehkan pengguna menikmati perubahan harga lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia.
Semalam media melaporkan Khairul berkata, pengumuman kerajaan bahawa harga minyak runcit akan kembali ditetapkan secara mingguan mungkin menjadi berita baik kepada rakyat, tetapi tidak kepada pengusaha stesen minyak.
Khairul berkata, langkah itu seolah-olah memerangkap pengusaha stesen minyak.
Katanya, bagi pengusaha stesen minyak, perkara yang menjadi isu adalah kaedah yang digunakan kerajaan untuk mengurangkan harga runcit minyak.
Mekanisme penetapan harga apungan secara mingguan yang digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini didakwa menyebabkan penutupan lebih 300 stesen minyak di seluruh negara setakat April 2018.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan