HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Disember 2018

Kenapa Bersatu perlu kekal identiti Melayu-Islam?

   

AGM BERSATU | Keputusan Bersatu untuk menjadi parti Melayu-Islam sebagai alternatif kepada Umno, tidak disenangi oleh penyokong tradisi Pakatan Harapan (PH).

Sejak mula penubuhannya, PH (dahulu dikenali sebagai Pakatan Rakyat) sering berkempen atas nama kepelbagaian budaya dan kebersamaan.

Sejak 2008, gabungan tersebut berjaya mencatat kemajuan besar dalam dua pilihan raya umum (PRU) lalu, tetapi masih tidak cukup untuk meraih sokongan daripada orang Melayu bagi mencapai kemenangan.

Dengan sedikit perubahan sokongan orang Melayu terhadap mereka, sokongan kuat bukan Melayu, serta peralihan kuasa di Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) pada PRU-14, PH berjaya menamatkan kuasa BN setelah 61 tahun berkuasa.

Umno hilang 34 kerusi parlimen, manakala Bersatu yang mewakilli PH di kebanyakan kawasan luar bandar orang Melayu, hanya berjaya memperolehi 13 kerusi parlimen.

Kawasan bertanding sengit

Tetapi di kawasan yang ditandingi oleh PKR, kehadiran Bersatu dilihat lebih memberi kesan apabila berjaya meraih 47 kerusi berbanding hanya 30 yang dimenanginya pada PRU sebelumnya
Biarpun peranan parti itu mungkin direndah-rendahkan oleh sebahagian pengkritik berikutan bilangan kerusinya yang rendah, Bersatu bertanding di kawasan yang sengit- di mana sebahagian kawasan mempunyai hampir keseluruhan penduduk Melayu.

Memandangkan orang Melayu merupakan penduduk majoriti dan kawasan luar bandar Melayu membawa peratusan yang lebih tinggi dalam sistem pilihan raya, perubahan sokongan walau sekecil mana, boleh memberi kesan yang besar terhadap keputusan pilihan raya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengakui yang beliau tidak menjangkakan kemenangan PH.

Tetapi pelbagai faktor yang tidak menyebelahi BN dilihat mendorong perubahan sokongan terhadap PH yang telah menghasilkan keputusan PRU yang berbeza daripada jangkaan.

Kini, pemimpin Bersatu bimbang sokongan orang Melayu terhadap parti itu tidak mampu dipertahankan - seperti hayunan bandul yang bergerak ke depan dan ke belakang. Ia boleh menyebabkan kekalahan besar buat PH, seperti yang dialami Umno pada 9 Mei lalu.


“Kemenangan PRU-14 adalah pertambahan hanya lima peratus daripada PRU-13 (sokongan Melayu), menjadikan 29 peratus undi Melayu lalu menyaksikan PH menang.

"Tetapi tidak stabil, kajian Merdeka Centre menyatakan sokongan Melayu merosot sehingga sebelum PRU-14,” kata exco Pemuda Bersatu Ashraf Mustaqim Badrul Munir (gambar, atas).

Ashraf mengakui konsep kepelbagaian budaya mungkin akan menjadi trend masa depan dan komponen PH yang lain sudah pun bergerak ke arah itu.

Bagaimanapun, katanya, hal itu tidak akan dapat dicapai sekiranya orang Melayu selaku penduduk majoriti tidak menerima konsep itu - terutamanya di kalangan golongan konservatif.

Dua pulau berasingan

“Masyarakat tak akan bergerak jikalau majoriti tidak berfungsi sedangkan orang minoriti sahaja yang gerakkan perubahan.

“Parti bercakap tentang keterbukaan atau idea perubahan dari atas ke bawah, sedangkan (perubahan) dari bawah ke atas telah tertutup, terutamanya dalam kelompok konservatif,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau menyifatkan golongan yang mahukan perubahan dan golongan konservatif seperti dua pihak yang duduk di dua pulau berasingan dan tidak dapat berkomunikasi untuk menyampaikan mesej sesama sendiri.

Kerana itulah, menurut Ashraf, Bersatu perlu memainkan peranannya sebagai parti Melayu-Islam untuk memenangi hati Melayu konservatif.

“Hari ini paling besar cabarannya adalah untuk memenangi hati Melayu konservatif. Kalau kita duduk sahaja di pulau berasingan, tak mungkin kita akan buat perubahan.

“Macam mana kita nak masuk dan ubah, (lakukan) pembaharuan kalau kita tak boleh cakap dalam laras bahasa mereka, kita perlu berada dalam kelompok mereka, duduk (dan) faham. Memang jalannya akan (menjadi) panjang dan rumit,” katanya.

Sejak penubuhannya pada 2016, Bersatu hanya terbuka kepada bumiputera manakala bukan bumiputera hanya boleh menyertai parti sebagai ahli bersekutu sahaja.


Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman yang terkenal dengan sikap progresifnya itu turut mempertahankan keperluan Bersatu mengekalkan indentiti Melayu-Islamnya.

Beliau mengambil contoh situasi di Amerika Syarikat, apabila Barack Obama menjadi presiden pada 2008 dengan sokongan kumpulan liberal.

Bagaimanapun, kemenangan itu berputar apabila kumpulan pengundi konservatif dan luar bandar ‘bangkit’ sehingga Donald Trump dinobat sebagai presiden Amerika Syarikat pada 2016.

“Kita tak nak jadi seperti itu [...] Sebab itu kita kena ikut cita rasa politik pada (satu-satu) masa tersebut,” katanya kepada Malaysiakini.

Bersatu bukanlah satu-satunya parti yang memesrai golongan konservatif Melayu. PAS dan Umno juga selalu dilihat selalu memainkan isu-isu berkaitan Melayu dan Islam.



Kedua-dua parti tersebut bersuara menentang pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan yang menurut mereka boleh mengancam kedudukan orang Melayu dan bahasa Melayu.

Malah bulan lalu, Umno dan PAS berganding bahu membantah pengiktirafan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Mereka berjaya mempengaruhi pandangan masyarakat umum untuk memandang konvensyen tersebut sebagai sesuatu yang mengancam Melayu dan Islam.

PH terpaksa berdepan beberapa bulan yang sukar sepanjang tempoh Umno dan PAS memainkan isu tersebut.



Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata, keutamaan kini adalah untuk memberi tumpuan terhadap isu yang dekat dengan rakyat, terutamanya di kalangan miskin luar bandar yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu.

“Isu yang dekat dengan hati rakyat seperti kos sara hidup, perumahan dan yang lain-lain. Kita perlu memberikan keyakinan kepada orang Melayu bahawa dalam era Malaysia Baru ini, masa depan mereka dan perlembagaan tetap akan dipertahankan,” katanya.

Bagaimanapun, sudah ada cakap-cakap dan ketidakpuasan hati terhadap PH di kalangan orang Melayu luar bandar memandangkan harga komoditi jatuh yang membebankan mereka.



Ahli jawatankuasa Bersatu Pagoh Hanafi Md Taib (gambar) berkata beliau mendapat tempias daripada ketidakpuasan hati penoreh getah dan pekebun kecil kelapa sawit di tempatnya, yang kebanyakannya merupakan orang Melayu.

Berdasarkan harga rujukan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), harga buah sawit gred A di kawasan Selatan kini berharga RM411 setan setakat 27 Disember.

Sehari sebelum PRU-14 pada 9 Mei lalu, harganya mencapai RM509 setan.

Begitu juga dengan dengan harga getah. Menurut Lembaga Getah Malaysia (MRB), harga getah kini adalah RM5.26 sekilogram untuk getah SMR20 sedangkan sehari sebelum PRU-14, harganya mencecah RM5.59 sekilogram.

Ditekan dengan bebanan hutang, kementerian kewangan mengumumkan pemotongan pelbagai bantuan kepada pekebun luar bandar dalam Belanjawan 2019.

Bagaimanapun, bantuan tersebut dikembalikan setelah mendapat gesaan pelbagai pihak, terutamanya daripada Bersatu dan PKR.

“Lembap (tindak balas kerajaan terhadap masalah tersebut), (kerana) tak punyai cukup pengalaman dan pakar untuk hadapi situasi ini.

“Macam mana kami penyokong PH nak hadapi orang kampung? Masalah setiap hari ditimbulkan orang kampung. Pendapatan untuk sara hidup mereka - makan, minum (adalah dari) duit hasil sawit dan getah.

“Kalau hari ini PRU-15, PH mesti kalah dengan harga (komoditi) hari ini, 100 peratus,” katanya lagi.

Ketika PH - lebih-lebih lagi Bersatu - berdepan serangan bertubi-tubi daripada pihak pembangkang yang membawa kerisauan golongan konservatif dan masalah ekonomi orang Melayu luar bandar, perwakilan Bersatu dijangka akan meluahkan kekecewaan mereka pada mesyuarat agung tahunan di Putrajaya yang bermula hari ini.


Tiada ulasan: