HALAMAN SANTAI

Isnin, 5 Ogos 2019

Kalau ikhlas Lynas sudah ditutup

fazleen safina 

 

Kalau itu tangisan menagih undi memang rakyat sudah kena tipu

BANGI – “Kalau betul-betul ikhlas, sepatutnya Lynas sudah tutup hari ini. Tetapi, kalau tangisan itu hanyalah tangisan raih undi, memang rakyat sudah kena tipu,” kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau berkata demikian menyindir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh yang pernah menangis ketika mendesak kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN) menutup operasi kilang memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd. (Lynas) di Gebeng, Kuantan.

Fuziah ketika itu Ahli Parlimen Kuantan berjanji tidak akan berkrompomi dan akan menutup kilang Lynas kerana dikhuatiri tidak selamat, sekiranya pakatan menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Menuntut janji itu, Haji Aminuddin berkata, Pakatan Harapan sudah setahun memerintah dan beliau menjadi sebahagian daripada kerajaan, namun sehingga saat ini Lynas masih belum ditutup.

“Rakyat tertanya-tanya, adakah tangisan itu ikhlas untuk kesejahteraan dan keselamatan rakyat atau hanya tangisan untuk menagih undi pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan mencabar kepemimpinan PH, yang sebelum ini menentang Lynas agar meletakkan jawatan.

Najib turut menuntut kalangan pemimpin berkenaan untuk membuat permohonan maaf terbuka kepada rakyat atas lakonan dan penipuan mereka selama ini.

Isu Lynas antara perkara yang diperjuangkan oleh beberapa pemimpin PH seperti Fuziah dan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack sejak 10 tahun lalu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan Malaysia akan membenarkan Lynas untuk terus beroperasi di negara ini.

“Saya rasa kerajaan sudah ambil pandangan semua pihak yang menyuarakan kebimbangan dengan isu alam sekitar. Apa yang boleh saya katakan keputusan yang dicapai dalam isu kilang Lynas ini adalah keputusan paling ideal dan terbaik,” katanya.

Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, kerajaan akan mengumumkan status isu memperbaharui lesen operasi Lynas selewat-lewatnya 15 Ogos ini.

“Lynas sudah membuat permohonan untuk memperbaharui lesen pada 2 Ogos, iaitu semalam jadi permohonan masih diproses, kita akan keluarkan kenyataan rasmi secara terperinci kepada semua selewat-lewatnya 15 Ogos,” katanya.



Tiada ulasan: