Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin
menasihatkan penganjur mengecualikan Dr Zakir Naik daripada acara di
negeri itu yang bermula hari ini.
Nasihat itu dibuat dengan mengambil kira "maslahat" Dr Zakir dan keluarga penceramah kelahiran India itu.
"(Tangguh acara Dr Zakir) bukan kerana benci pada dia tetapi untuk kebaikan dia dan keluarga dia.
"Umat Islam secara umumnya mahu kita berikan laluan pada Dr Zakir. Majoriti mahukannya," kata Asri ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.
Nasihat mufti itu dinyatakan secara rasmi dalam surat kepada penganjur One Centre Malaysia, sebuah NGO dakwah Perlis, hari ini.
"Untuk
kemaslahatan Dr Zakir dan keluarga beliau, maka pihak jabatan ini ingin
menasihatkan pihak tuan supaya mengecualikan beliau dan keluarga dalam
program Malaysia Reverts Camp 2019," menurut surat yang dilihat Malaysiakini.
Salinan surat mufti kepada penganjur
‘Pihak yang berniat tidak baik’
Surat
itu juga menyatakan kebimbangan berlakunya gangguan terhadap Zakir dan
keluarganya disebabkan isu-isu yang akan dibangkitkan oleh “pihak yang
berniat tidak baik”.
"Sehubungan dengan itu, usaha dakwah yang
bersungguh-sungguh dari pihak tuan akan dapat diteruskan," kata mufti
lagi dalam surat itu.
Zakir sekeluarga - termasuk isteri dan dua
anaknya - dijadual terlibat dalam acara tiga hari yang melibatkan ramai
tokoh pendakwah mualaf terkenal, antaranya Xifu Naser, Shah Kirit,
Firdaus Wong, Zamri Vinoth dan Ridhuan Tee.
Zakir sepatutnya terlibat dengan sesi soal jawab terbuka dan berkongsi pandangan berkaitan al-Quran sebagai sumber kebahagian.
Anaknya
Fariq, yang dilihat sebagai pengganti bapanya, sepatutnya bercakap soal
dakwah manakala anak dan isteri Zakir pula dijadual terlibat dalam
acara bersama kaum Muslimah.
Zakir yang kini pemastautin tetap
Malaysia mencetuskan kontroversi baru selepas dilapor mempersoal
kesetiaan penganut Hindu kepada perdana menteri dan mencadangkan “tetamu
lama” Cina pulang dahulu sebelumnya.
Zakir mendakwa laporan berkaitan kenyataannya di Kelantan minggu lepas dipetik di luar konteks.
Boleh datang
Sementara itu, menjawab soalan, Asri berkata beliau tiada masalah jika Dr Zakir ingin tetap berkunjung ke negeri Perlis.
"Nak datang tiada masalah. Berucap saja tidak," kata mufti lagi.
Ditanya
berkaitan kritikan diterima Dr Zakir setelah program di Kelantan minggu
lepas, Asri berkata bukan semua orang tidak suka dengan program
sebegitu.
Asri juga berkata program Zakir di Perlis telah disusun sebelum acara di Kelantan berlangsung lagi.
Desakan
Zakir dihantar pulang ke negara asal kedengaran selepas kaedah
ceramahnya yang memetik kitab agama lain tidak disenangi.
Kerajaan
India juga menuntut Zakir dihantar pulang bagi berdepan pertuduhan
pengubahan wang haram di negara itu. Zakir menafikan tuduhan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan