HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Ogos 2019

Pelaksanaan tulisan jawi di sekolah tak patut jadi isu

siti hafidah  

 

Pengenalan seni khat bertujuan terap nilai warisan, identiti negara

BANGI – Pengenalan tulisan jawi dan seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 tidak wajar dijadikan isu sehingga mengundang kontroversi, kerana ia bertujuan menerapkan nilai warisan dan identiti negara.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock berkata, murid mula mengenali Seni Tulisan Jawi, Cina dan Tamil sejak Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dilaksanakan bagi murid Tahun Satu pada 2011.

“Pada 2015, ia wujud dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun Lima untuk sekolah jenis kebangsaan di bawah tema ‘Menghargai Budaya Bangsa’.

“Tahun ini adalah semakan KSSR Tahun Empat. Justeru, biarlah golongan profesional melakukan perbincangan dan mencari jalan supaya pembelajaran seni khat ini tidak membebankan murid kita di samping memupuk gaya penulisan yang indah menjelang 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isu penggunaan tulisan Jawi dalam buku teks di semua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil hangat diperdebatkan apabila kumpulan pendesak Cina, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) serta pemimpin DAP termasuk anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) membantah keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, baru-baru ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, penggunaan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat boleh diteruskan.

Merujuk bantahan sesetengah pihak mengenai perkara itu, Dr Mahathir berkata, ia hanya membabitkan sebahagian kecil masyarakat.

Katanya, kerajaan berpegang kepada dasar kemakmuran bersama dan tidak pernah menghalang penggunaan tulisan bahasa lain.


Tiada ulasan: