Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii menuduh DAP menggunakan jalan belakang dengan tindakan speaker Ng Suee Lim memendekkan sidang DUN bagi menghalang cadangan pindaan enakmen negeri yang akan membuka jalan kepada penukaran agama kepada Islam secara sepihak.
Katanya, ini jelas menunjukkan pemimpin DAP itu menggunakan jalan belakang untuk memastikan usul itu tidak dibentang.
"Sehubungan itu saya meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor yang beragama Islam supaya bersatu memastikan perkara yang berkaitan dengan Islam tidak diperkotak-katikkan.
"Usul pindaan ini telah dipersetujui olen Tuanku Sultan Selangor, Ng tidak sepatutnya menyalahgunakan kuasa untuk menghalang usul ini daripada dibentangkan," katanya yang dipetik portal Utusan Malaysia.

Pada masa ini, enakmen itu menyatakan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah perlu mendapat kebenaran "ibu dan bapa" sebelum memeluk Islam. Pindaan itu untuk mengubahnya kepada "ibu atau bapa".
Versi bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan juga merujuk “ibu atau bapa” berkaitan penukaran agama.
Walau bagaimanapun, usul pembentangan pindaan RUU penukaran agama itu tidak menjadi kenyataan apabila Ng didakwa menyingkatkan tempoh sesi persidangan kepada dua hari.
Ng berkata keputusannya adalah selaras Aturan Mesyuarat dan menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai "khabar angin yang disebarkan oleh media".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan