PETALING JAYA: Selepas PKR mengisytiharkan tidak menyokong cadangan mencalonkan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, presiden parti itu tampil memberi penjelasan bagi meredakan keadaan.
Anwar Ibrahim berkata, sebelum timbulnya pertikaian mengenai calon perdana menteri, mesyuarat Pakatan Harapan (PH) yang melibatkan parti komponen gabungan itu jelas bersetuju untuk mencalonkannya ke jawatan itu.
Bagaimanapun beliau berkata, Mahathir tidak bersetuju kerana mahu menjadi perdana menteri buat kali ke-3.
Anwar mendedahkan pelbagai hujah dikemukakan dalam mesyuarat itu untuk tidak menyokong cadangan Mahathir sebagai calon perdana menteri gabungan itu sekali lagi.
“Kita hujah dan saya terangkan sudah hampir 24 tahun jadi perdana menteri bagilah orang lain. Kita dah janji.
“Semua dibahaskan, tetapi beliau berkeras,” katanya dalam rakaman video bertajuk “Tazkirah Anwar” di Facebook bagi mengulas isu-isu semasa, termasuk isu calon perdana menteri sekiranya PH berjaya mengambil alih kerajaan.
Dalam pada itu Anwar berkata, wujud kecurigaan berhubung pencalonan Mahathir, sekali gus menyebabkan beberapa syarat ditetapkan sekiranya perkara itu berlaku.
“Sebab bila diberi laluan Mahathir menjadi perdana menteri selama 6 bulan dengan syarat kena tandatangan. Ini untuk pastikan ia dipenuhi. Maknanya ada kecurigaan.
“Kita ada pengalaman, nak percaya 100% tidak juga. Kalau ikut pengalaman, nak tandatangan, nak pastikan, kalau tak lulus, tak setuju, kita undur keluar kerajaan. Itu semua dibincangkan,” katanya.
Pada 19 Jun, PKR mengisytiharkan parti itu tidak menyokong cadangan mencalonkan Mahathir sebagai perdana menteri sekiranya PH kembali membentuk kerajaan.
Parti itu berkata ia kekal dengan konsensus PH yang mencalonkan presidennya, Anwar sebagai perdana menteri.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau tidak boleh menerima cadangan Mahathir sebagai perdana menteri kerana tidak yakin ia pilihan terbaik untuk negara buat masa ini.
Katanya, 6 bulan adalah masa yang singkat bagi menghadapi era pasca Covid-19.
“Kita berbeza pendapat. Saya kata saya tak dapat terima sebab tidak yakin ini terbaik bagi negara.
“Bagi rakyat, bagi ‘reform’, bagi badan kehakiman, media, program anti rasuah dan terutamanya ekonomi. Nak hentikan kronisme. Semua itu saya tak yakin 6 bulan boleh kita kejar,” katanya.
Anwar berkata, sehingga kini Mahathir juga belum mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
“Ada yang percaya Mahathir boleh dapat jumlah (sokongan ahli Parlimen). Sampai hari ini, belum dapat jumlahnya.
“Belum ada, tetapi mereka percaya kalau kita bagi dukungan dia dapat jumlah itu. Itu pandangan,” katanya
Anwar juga berkata beliau tidak memusuhi atau mengkhianati PH dengan berkata demikian.
“Kita khianat? Tidak khianat. Khianat bagi kipas kepada golongan pengkhianat. Dalam kalangan kita bukan pengkhianat.
“Tidak. PH masih utuh. PKR, DAP dan Amanah tidak ada suara mahu melemahkan PH. Kita harungi bukan baru, dari zaman PR dan sekarang PH.
“Kita harus bekerjasama dengan Mahathir dan Warisan dan kita perlu gantikan PN sebab mandat itu kita perolehi.
“Mandat rakyat ialah untuk perubahan. Untuk ekonomi rakyat, untuk perbaiki kehidupan dan untuk bawa perubahan institusi. Kita tuntut mandat itu dipenuhi. Itu ikhtiar kita ” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan