DAP dan Amanah berkata pihak mereka konsisten menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Bagaimanapun, kedua-dua parti tersebut turut mengulangi bahawa mereka percaya dengan senario politik semasa, satu-satunya langkah terbaik adalah membenarkan tempoh peralihan kuasa selama enam bulan.
Ia susulan Presiden PKR Anwar, menerusi siaran langsung Facebook semalam, menyifatkan bahawa PH tetap kukuh walaupun ada kenyataan menyinggung dan selepas dua gabungan parti itu menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai calon jawatan tertinggi kabinet jika PH Plus mengambil alih Putrajaya kembali.
“Kami
konsisten menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri sejak 1998 dan
akan terus berbuat demikian,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan
Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Meskipun dalam menghadapi perselisihan faham, kedua-dua pihak tersebut menekankan kepentingan gabungan kekuatan dari PKR, Amanah dan DAP dalam PH, serta Warisan dan kelompok penyokong Dr Mahathir.
“Perjalanan politik ini telah mengambil masa 22 tahun, justeru kita mampu menunggu enam bulan lagi untuk melihat Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri ke 10 Malaysia.
“Peralihan enam bulan ini akan didokumenkan secara bertulis, ditandatangani kesemua pemimpin parti dan diumumkan secara terbuka,” katanya lagi.
Tambah DAP dan Amanah, gabungan PH Plus harus mencari titik persamaan bagi menuntut kembali mandat yang telah diberikan rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) 2018.
“Kami berharap PKR dan Mahathir, bersama-sama Warisan tidak akan semakin menjauh bahkan terus merapat dan bersatu-padu.
“Melihat masing-masing sebagai musuh dan bukan rakan sekutu tidak akan membantu perjuangan rakyat bahkan hanya membantu mereka yang telah menumbangkan sebuah kerajaan sah yang dipilih rakyat, dengan sebuah kerajaan tanpa mandat rakyat,” tambahnya.
Jelas kedua-dua parti itu lagi, tidak adil bagi melabel mereka sebagai gila kuasa dalam usaha untuk mencari jalan terbaik untuk mengambil alih Putrajaya.
“Ini tidak adil kerana walaupun kami tidak gentar menjadi pembangkang, rakyat telah mengundi pada tahun 2018 supaya kami mengambil alih kerajaan,” katanya.
“Ini adalah sebuah perjuangan suci untuk mendaulatkan demokrasi serta nilai undi jutaan rakyat Malaysia yang memilih untuk menukar kerajaan bagi menyingkirkan pentadbiran yang korup dan kleptokratik, melibatkan puluhan bilion Dolar Amerika,” katanya lagi.
Selain itu, DAP dan Amanah juga berkata bahawa PH Plus akan menggerakkan jentera parti untuk mempersiapkan diri dengan kemungkinan pilihan raya mengejut, dan bekerjasama dengan semua parti politik yang menolak kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Kebuntuan pemilihan calon perdana menteri di blok pembangkang telah menimbulkan perselisihan dan perbezaan pendapat antara pemimpin PH.
Jumaat lalu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad telah mengeluarkan kenyataan yang menjelaskan bahawa Anwar gagal meraih sokongan GPS untuk merampas Putrajaya.
Mereka juga keliru dengan penolakan PKR untuk menyokong Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri serta mendakwa bahawa parti tersebut telah bersetuju akan cadangan itu ketika mesyuarat PH 30 Mei lalu.
DAP dan Amanah dilihat cenderung memilih Dr
Mahathir bagi menggalas jawatan perdana menteri itu buat kali ketiga
selama enam bulan dengan Anwar sebagai timbalannya, sebelum peralihan
kuasa kepada presiden PKR itu.
Namun PKR tetap bertegas inginkan Anwar menyandang jawatan perdana menteri tanpa perlu melalui fasa peralihan kuasa dengan Dr Mahathir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan