KES PINDA AUDIT 1MDB | Perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak akhirnya bersambung hari ini.
Ia selepas perbicaraan ditangguh semalam atas permintaan ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah, berikutan salah seorang peguam tidak sihat dan menjalani ujian Covid-19.
Peguam tersebut, Rahmat Hazlan, akhirnya didapati bebas daripada wabak itu dan mengalami demam selesema.
"Dia mengalami influenza tetapi telah disahkan bebas (Covid-19)," kata Shafee di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Perbicaraan kemudian diteruskan dengan pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan iaitu bekas ketua setiausaha negara, Ali Hamsa.
Satu lagi perbicaraan terhadap Najib, melibatkan dana RM2.28 bilion berkaitan 1MDB, turut ditangguhkan ekoran kemungkinan jangkitan Covid-19.
Ia selepas pasukan pembelaannya terdedah secara sekunder terhadap seorang pesakit Covid-19 dan menjalani kuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.
Dalam kes pinda lapran audit, Najib dituduh menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi kandungan laporan akhir sebelum dibentangkan ke Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.
Arul Kanda pula didakwa bersubahat untuk melakukan pindaan itu.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, dan denda RM10,000 atau tidak kurang lima kali nilai suapan, yang mana tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan