KUALA LUMPUR – Seramai 54 penanam kenaf yang mengusahakan 95.5 hektar tanaman di Kedah menerima Bantuan Prihatin Kenaf 2020 berjumlah RM47,950.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, peruntukan yang disalurkan melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) itu diberikan dalam bentuk input pertanian pada kadar RM500 setiap hektar tanaman.
“Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memperuntukkan sebanyak RM968,680 bantuan prihatin khusus kepada penanam-penanam kenaf di seluruh negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Jumlah ini melibatkan 1,357 penanam dengan keluasan tanaman 1,937.36 hektar,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau hari ini turut meluangkan masa melawat pejabat LKTN Kedah dan telah diberi taklimat mengenai operasi Pusat Pemprosesan Biji Benih Kenaf serta demonstrasi pemprosesan biji benih kenaf.
Pada majlis berasingan pagi tadi pula, Khairuddin menyampaikan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) berjumlah hampir RM6,000 kepada 20 pekebun kecil.
Insentif tersebut bagi membantu pekebun-pekebun yang terkesan dengan kejatuhan harga getah.
IPG diaktifkan sekiranya harga purata bulanan SMR 20 FOB berada di paras RM6.10 sekilogram atau harga di peringkat ladang berada pada paras RM2.50 sekilogram ke bawah.
Tuntutan IPG di negeri Kedah sehingga 30 April 2020 adalah sebanyak 35,284 pekebun kecil membabitkan sejumlah RM6.5 juta.-MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan