PULAU LANGKAWI – Kira-kira 200 tempahan penginapan diterima daripada petugas barisan hadapan yang ingin bercuti di Pulau Langkawi selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diumumkan.
Menurut penyelaras program, Adnan Hasan, para petugas yang membuat tempahan itu dijangka menginap di beberapa buah hotel yang ditawarkan secara percuma antara bulan Julai hingga November.
“Setakat ini, ada 20 hingga 30 petugas barisan hadapan yang telah datang untuk menikmati penginapan percuma dan kita juga terima sekitar 200 tempahan akan datang.
“Program apresiasi buat frontliners ini merupakan satu tawaran yang tulen dan ia bukan bersifat gimik semata-mata,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Hotel Adya Langkawi, Kuah di sini hari ini.
Sebelum datang mereka disarankan melayari laman web www.tourismlangkawi.biz terlebih dahulu bagi sebarang maklumat lanjut, katanya.
Dalam pada itu, Adnan berharap program yang dijalankan dapat melonjakkan kembali sektor pelancongan dengan menarik lebih ramai pengunjung dari serata negeri untuk melawat Pulau Langkawi.
Ini kerana hampir 60 peratus ekonomi penduduk bergantung kepada sektor berkenaan dan penularan Covid-19 benar-benar menjejaskan pendapatan mereka.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, sebanyak 12 pemain industri pelancongan terlibat dalam program berkenaan antaranya Hotel Adya di Kuah dan Cenang, Hotel Fave, Frangipani Resort, Taman Hidupan Liar Langkawi serta perkhidmatan kereta sewa Heavenly Escape Holiday.
“Ada hotel yang terlibat menawarkan penginapan percuma dan ada juga yang berikan diskaun istimewa sementara perkhidmatan kereta sewa pula beri 100 keping baucer,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan bagi menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan dalam menangani wabak Covid-19 di negara ini, tujuh hotel menawarkan penginapan percuma untuk mereka bercuti di pulau tersebut.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan