Sungai Sembrong dekat Kampung Orang Asli Sedohok di Kluang dikhuatiri tercemar apabila ribuan udang galah dan ikan air tawar ditemui mati terapung di permukaannya.
Tok Batin Kampung Orang Asli Sedohok, Halim Jahari dipetik BH Online berkata kejadian disedari jam 5 petang semalam, disyaki berpunca akibat pencemaran air sungai yang dikhuatiri dari kilang serta perusahaan yang beroperasi di hulu sungai itu.
Halim berkata penduduk berharap pihak berkuasa segera menyiasat punca kejadian berkenaan.
"Air sungai kelihatan berminyak dan mungkin itu menjadi penyebab pencemaran ini sehingga udang dan ikan mati.
"Malah saya ada mengambil sedikit air sungai berkenaan sekiranya diperlukan pihak berkenaan untuk membuat kajian dan siasatan punca pencemaran," katanya.
Menurut Halim, dalam kejadian petang semalam air sungai didapati berminyak, jadi dia tidak mensyaki kegiatan menuba ikan sebagai punca kejadian itu.
Jelasnya, sebagai langkah keselamatan, semua penduduk yang ada mengambil ikan atau udang di yang ditemui terapung di sungai ini petang semalam dilarang memakannya kerana "bimbang dicemari bahan beracun yang boleh menjejaskan kesihatan."
"Kami menuntut tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab mencemarkan Sungai Sembrong ini kerana secara tidak langsung menjejaskan pendapatan nelayan darat yang bergantung kepada sumber sungai ini," katanya lagi, lapor BH Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan