HALAMAN SANTAI

Sabtu, 15 Ogos 2020

Kemenangan PRK Slim Bakal Jadi Lambang BN Tetap Kukuh, Terus Dapat Sokongan

UMNO ONLINE

TANJUNG MALIM – Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Ashraf Wajdi Dusuki berkata kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim bakal menjadi lambang bahawa BN tetap utuh, kukuh dan mendapat sokongan dari rakyat.

Katanya, dalam kempen sepanjang 14 hari PRK tersebut, Pemuda BN bukan hanya akan bergerak bersama Pemuda PAS dalam Muafakat Nasional tetapi juga Armada PPBM yang beri sokongan.

“PRK Slim ini adalah medan latihan untuk kita berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 dan kita Pemuda adalah barisan hadapan untuk menarik anak muda bersama-sama kita yang selama ini telah tertipu dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN PRK Slim, yang diadakan di Pusat Operasi BN, di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut melahirkan rasa kagum dengan semangat Pemuda BN.

“Ini kerana, sebelum ini selama 22 bulan kita di bawah PH tapi kita masih terus setia kepada BN. Kita akan bersama-sama penyokong BN bagi memulakan satu gerak kerja bersama sepanjang kempen PRK ini demi kemenangan pada 29 Ogos nanti,” katanya.

Pelancaran jentera tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut bersama ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama barisan kepimpinan parti tempatan.

Turut memberikan sokongan ialah barisan kepimpinan Muafakat Nasional, PAS dan kepimpinan pemuda kompenan BN serta Pemuda Armada PPBM.

PRK DUN Slim diadakan 29 Ogos dan pengundian awal pada 25 Ogos, berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lepas. – UMNO Online

Tiada ulasan: