UMNO ONLINE
KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Norshida Ibrahim berkata pandemik global COVID-19 mengubah suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim khususnya pendekatan calon itu sendiri untuk mendekati sejumlah pengundi pada PRK Sabtu, 29 Ogos nanti.
Menurut beliau kempen yang diadakan secara online serta amalan penjarakan sosial dan melagakan penumbuk (fist bump) yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini kini sudah menjadi kebiasaan.
“Kempen PRK DUN Slim bakal berlangsung tanpa sebarang berjabat salam, walaupun untuk golongan ahli politik, ia adalah waktu buat mereka bertemu secara dekat dengan rakyat setempat.
“Kita bakal melihat pertandingan tiga penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz dengan dua lagi calon bebas Amir Khusyairi dan Dr S. Santharasekaran. Kita bakal melihat juga calon yang bertanding akan menggunakan kreativiti tersendiri dengan kaedah berkempen norma baharu menggunakan media sosial dan rangkaian komunikasi telefon pintar sebagai saluran kempen,” katanya.
Justeru katanya, semua pengundi PRK Dun Slim dan seluruh Rakyat Malaysia harus menerima hakikat bahawa “norma baharu” pasca COVID-19 akan mempengaruhi semua aspek kehidupan, termasuk proses demokrasi negara.
“Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan telah dilonggarkan, namun peraturan penjarakan sosial masih berkuatkuasa, dengan orang ramai diwajibkan berada lebih satu meter antara satu sama lain dan dilarang berhimpun dengan jumlah peserta yang ramai. Pemakaian pelitup muka adalah satu perkara yang wajib di patuhi semua rakyat buat masa ini,” ujarnya lagi.- UMNO Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan