MALAYSIAKINI
Bekas timbalan presiden Bersatu Mukhriz Mahathir ketinggalan 20 tahun di belakang apabila mempersoalkan sama ada Muafakat Nasional (MN) akan memilih presiden parti itu, Muhyiddin Yassin sebagai ketua atau tidak, kata Setiausaha Agung BN Annuar Musa.
Annuar berkata, MN tidak lagi menggunakan sistem lama yang melantik pemimpin parti sebagai pengerusi kerana semua parti dalam gabungan itu adalah setaraf.
"Kita sudah tidak pakai sistem politik itu. Bersatu, Umno dan PAS, tiga-tiga boleh jadi calon," katanya seperti dilaporkan laman Free Malaysia Today hari ini.
Menurut Bernama pula, MN mengamalkan pendekatan politik ta'awun, yang bermaksud saling membantu, dan ta'yush, iaitu saling menghormati.
"Konsep ta'awun iaitu daripada bergaduh kepada bekerjasama dan ta'ayush iaitu hormati prinsip co-existence (kewujudan bersama)," katanya.
Annuar mengulas kenyataan Mukhriz yang mempersoalkan langkah parti lamanya untuk menyertai MN yang menurutnya sebagai "luar biasa".
"Ini kerana biasanya perdana menteri itu, pengerusi kepada gabungan yang terbesar.
"Tetapi saya tak tahu adakah MN akan setuju mengangkat beliau (Muhyiddin Yassin) sebagai pengerusi MN kerana Bersatu adalah adik bongsu dalam MN jika diterima masuk," katanya seperti dipetik Berita Harian.
Kenyataan Mukhriz - yang kini presiden Penaja (interim) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) - susulan pengumuman Muhyiddin bahawa Bersatu bersetuju menyertai MN atas dasar untuk mewujudkan kestabilan politik.
Menurut Free Malaysia Today lagi, Annuar juga secara sinis menasihati parti baru yang ditubuhkan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad itu supaya meniru model baru MN.
"Untuk Pejuang bolehlah pakai (apa yang dikatakan sebagai sistem lama). Buat parti, lantik anak. Itu model lama, model ayah lantik anak jadi pengerusi.
"Kena tiru model MN. Bertoleransi, tak ada masalah," katanya lagi seperti dipetik.
Ahli Parlimen Ketereh itu juga membangkitkan kedudukan Muhyiddin selaku pemimpin kerajaan Perikatan Nasional walaupun BN mempunyai kerusi Parlimen paling banyak dalam gabungan itu.
“BN kerusi paling banyak, (tetapi) bagi Muhyiddin jadi perdana menteri. Nanti bagi balik pada Umno jadi perdana menteri," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan