PUTATAN: Presiden Warisan, Shafie Apdal berkata, tiada masalah sekiranya sekutu dalam Pakatan Harapan (PH) dan Upko bersetuju menggunakan lambang parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Katanya, pendekatan menggunakan hanya 1 lambang sudah terbukti di Semenanjung pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan parti komponen PH yang terdiri daripada PKR, DAP, PPBM dan Amanah menggunakan logo PKR.
“Pada PRU lalu Mahathir (Mohamad) menggunakan lambang PKR, begitu juga dengan Muhyiddin (Yassin), (Lim) Guan Eng dan yang lain-lain.
“Maknanya kalau dulu boleh pakai (satu logo) di Semenanjung, kenapa di Sabah tidak boleh?,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan jentera pilihan raya Warisan di sini, hari ini.
Shafie berkata, keputusan sama ada parti sekutu Warisan akan menggunakan lambang parti itu pada PRN belum dimuktamadkan.
“Saya sudah berbincang dengan mereka (PH dan Upko), ada yang mengatakan setuju, namun ada yang mahu pertimbangkan dulu.
“Ini hanya cadangan daripada semua parti, cuma Upko mungkin tidak sebab ia parti tempatan,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, sebahagian pengundi pos di Sabah telah kembali ke negeri ini dan tidak menjadi masalah pada PRN nanti.
“Bagaimanapun kita akan melihat bagaimana untuk membantu mereka (pengundi) untuk balik.
“Saya faham bukan mudah kerana kita sekarang berhadapan dengan Covid-19, tetapi saya harap mereka boleh balik,” katanya.
Shafie berkata, cadangan supaya diwujudkan pusat pengundian jarak jauh bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.
“Ia agak singkat (persiapan untuk wujudkan pusat pengundian jarak jauh) dan bukan mudah dilaksanakan. Kalau betul ada kita juga terpaksa menghantar jentera ke sana untuk memantau dan sebagainya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan