PRK SLIM | Bekas menteri besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin memberi bayangan bahawa kerajaan negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu tidak mustahil tumbang sebelum pilihan raya umum (PRU).
Kata Nizar, ia akan berlaku sekiranya calon bebas bagi Amir Khusyairi Mohamad Tanusi mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Menurut pemimpin Amanah itu, kemenangan wakil parti Pejuang di PRK Slim akan membuka ruang kepada beberapa Adun veteran Umno menyertai Pejuang seterusnya menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak.
"Apa yang saya katakan tadi kepimpinan kerajaan Negeri Perak sekarang di bawah Peja (Ahmad Faizal) terdapat banyak kekeliruan dan rasa tidak puas hati antara Adun veteran Umno.
"Mereka berkhidmat sekurang-kurangnya tiga penggal. Ada yang empat penggal. Tapi, Peja melantik ahli exco kerajaan negeri dari pemimpin yang baru dari Umno yang hanya berkhidmat lebih kurang dua tahun. Seperti arwah Khusairi (Mohd Khusairi Abdul Talib) berkhidmat empat penggal. Tapi tidak diberi kedudukan dalam exco negeri.
"Ada lebih kurang empat atau lima Adun Umno sepertinya di Perak buat masa ini. Jika Amir menang PRK Slim, tidak mustahil bagi mereka mempertimbangkan semula kedudukan mereka di kerajaan negeri," katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, Nizar yang juga Adun Sungai Rapat diminta menjelaskan ucapan beliau kepada pengundi di Trolak, Pekan yang mengatakan bahawa beberapa Adun Umno tidak sehaluan dengan menteri besar.
Dalam krisis politik negara pada Februari, Ahmad Faizal berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai menteri besar yang dipegangnya ketika Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas bertindak membuat kerajaan baru di negeri itu bersama Adun Umno dan PAS.
Kerajaan Perak mempunyai 59 kerusi DUN, di mana Umno menguasai 25 kerusi diikuti Bersatu empat dan PAS tiga. Manakala DAP menang 16 DUN pada PRU14, disusuli Amanah lima dan PKR tiga.
"Bukan mustahil bagi mereka (Adun Umno) untuk menyertai Pejuang, jika parti itu menang di Slim. Mereka mungkin keluar dari Umno dan menyertai parti baru Pejuang, di mana kedua-dua partinya tidak banyak beza kecuali isu prinsip.
"Kalau ini berlaku, (kerajaan) Perak mungkin bertukar semula.
"Kami kini mempunyai 24 kerusi. Kalau Amir menang menjadi 25. Jadi, lima orang ke sini sudah memadai untuk menubuhkan kerajaan (negeri)," katanya.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai. Pengundian ditetapkan pada Sabtu ini.
Mohd Zaidi akan berdepan calon bebas, Amir Khusyairi dan Santharasekaran Subramaniam.
Pakatan Harapan (PH) tidak bertanding dalam pilihan raya kecil itu namun menyatakan sokongan kepada calon wakil Pejuang.
Pada PRU14, BN menang dengan majoriti 2,183 undi di DUN itu menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan