HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Ogos 2020

Laporan: Logo BN dan PN akan diguna di PRN Sabah

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilaporkan akan melancarkan Perikatan Nasional (PN) secara rasmi di Kota Kinabalu, Sabah, Sabtu ini meskipun BN sebelum ini telah menyatakan mereka akan menggunakan logo sendiri semasa pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Malah, menurut laporan Straits Times Singapura, PN juga akan melakukan kemunculan sulung dalam PRN Sabah dengan mengambil kira Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sebagai sebahagian daripada gabungan itu.

Straits Times juga melaporkan PBS dan PBRS akan menyertai gabungan itu.

Untuk rekod, PBRS secara rasminya adalah sebahagian daripada gabungan BN.

Sementara itu, dalam laporan berasingan, Sinar Harian melaporkan bahawa calon BN yang bertanding pada PRN Sabah akan menggunakan lambang parti, iaitu dacing yang sudah biasa dilihat pengundi.

Setiausaha Agung BN yang juga Ketua Koordinator BN bagi PRN Sabah, Annuar Musa berkata tinjauan mendapati pengundi sudah biasa dengan lambang dacing dan ia tidak boleh dipandang remeh.

Katanya, majlis tertinggi BN juga sudah memutuskan perkara itu.

"Walaupun bertanding atas logo BN, parti lain yang nak guna (lambang) PN, tidak ada masalah," katanya.

Annuar berkata, BN juga bekerjasama rapat dengan rakan daripada PN bagi memastikan kemenangan calon walaupun berlainan logo dan rundingan kerusi berjalan dengan baik.

PRN Sabah ditetapkan pada 26 September, manakala penamaan calon pada 12 September dan pengundian awal pada 22 September dengan sejumlah 1.12 juta pemilih berdaftar layak mengundi.

Sementara itu, Straits Times melaporkan bahawa Muhyiddin berhasrat untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh enam bulan ini.

"Kami akan bergerak dengan lima atau enam komponen kerana ini akan menjadikan kita gabungan parti pemerintah yang terbesar, dan kami akan menggunakan logo PN untuk pilihan raya negeri Sabah.

"Terserah kepada Umno sama ada ia mahu mengikutinya atau tidak," katanya.

Tiada ulasan: