Bangkit kemarahan rakyat kerana PH 'cakap tak serupa bikin’
BANGI – Kerajaan perlu mendedahkan kesemua 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus, ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) seperti yang didedahkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, semalam.
Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, hal ini kerana pendedahan oleh Menteri Kewangan itu amat mengejutkan kerana melibatkan jumlah wang yang terlalu besar.
Ironinya, kata beliau, selama ini PH begitu hebat melaung-laungkan slogan ketelusan dan membidas keras sebarang kaedah projek rundingan terus.
“Justeru, ini memang membangkitkan kemarahan rakyat, lebih-lebih lagi apabila ‘cakap tidak serupa bikin’.
“Sudahlah janji-janji manifesto tidak dipenuhi, sekarang ‘kantoi’ pula dengan hipokrasi lain.
“Mereka ini sudah seperti jatuh ditimpa tangga tetapi akhirnya rakyat juga yang rugi, ditipu berganda-ganda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Haji Aminuddin berkata, persoalan yang lebih besar kini adalah syarikat mana yang mendapat projek-projek berkenaan dan siapa pemiliknya.
“Rakyat mahu tahu, apakah ada unsur-unsur kronisme atau salah guna kuasa dalam isu ini.
“Maka, kita menggesa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan dengan segera terhadap semua yang terlibat, termasuk juga mereka yang sudah lompat ke Perikatan Nasional,” katanya.
Semalam, Tengku Zafrul mendedahkan, pentadbiran negara ketika diterajui PH selama 22 bulan telah meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.
Tengku Zafrul menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanya sama ada terdapat projek secara rundingan terus ketika pentadbiran terdahulu, ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit COVID-19 2020), di Dewan Rakyat.
Butiran berhubung rundingan secara terus yang dilakukan pentadbiran PH, selepas peralihan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu menyebabkan suasana persidangan dewan bertukar kecoh, selain beberapa Ahli Parlimen mendesak supaya senarai projek berkenaan dibentangkan untuk penelitian lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan