HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Ogos 2020

Dong Zong, Jiao Zong antinasional

Oleh Fazleen Safina

 

Apa nilai kewarganegaraan Malaysia jika mereka antiperpaduan?

BANGI– Tindakan Dong Zong dan Jiao Zong yang menonjolkan semula perjuangan pelampau, Lim Lian Geok makin menampakkan kedua-dua pertubuhan radikal itu antinasional dan ekstrem.

Terdahulu pada 13 Ogos, Jiao Zong menerusi kenyataan di Facebook, menyiarkan semula sejarah perjuangan mendiang Lian Geok – yang lantang menolak penstrukturan semula sekolah menengah Cina.

Kemudian, Dong Zong pula mengingati ulang tahun kelahiran ke-119 Lian Geok pada 19 Ogos.

“Hari (Rabu) 19 Ogos ialah hari kelahiran ke-119 cikgu Lim Lian Geok. Tidak kira berapa lama masa berlalu, prinsip dan semangat cikgu akan kekal selamanya.

“Maka ada satu pepatah mengatakan, nak mengenali pendidikan Cina di Malaysia, tidak boleh jika tidak menyebut nama Lim Lian Geok,” kata pertubuhan itu menerusi perkongsian di laman sosial Facebook.

Profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadun Islam (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan drastik terhadap kedua-dua pertubuhan berkenaan.

“Ini seperti barah yang meresap dan mula merebak, meskipun populasi mereka kecil. Tetapi, pergerakan mereka telah masuk ke dalam media, maka ia akan disambut oleh puak-puak yang sama dengan mereka.

“Mereka menentang dasar perpaduan, negara dan elemen nasional. Jadi, pergerakan mereka hendaklah dibanteras,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Menyifatkan pertubuhan-pertubuhan itu lebih dari biadab, Prof Ahmad Murad berkata, sekiranya Dong Zong dan Jiao Zong menyokong Lian Geok, mereka seolah-olah mencabar taraf kewarganegaraan sendiri.

“Apa nilai kewarganegaraan Malaysia jika mereka antinasional dan antiperpaduan?,” soalnya.

Mendiang Lian Geok pernah mengingatkan semua orang Cina bahawa sekolah menengah Cina adalah kubu pertahanan budaya mereka.

Disebabkan kelantangan itu, kerajaan telah melucutkan taraf kewarganegaraan Lian Geok dan membatalkan sijil kelayakan perguruannya.

Ucapan Lian Geok iaitu “langit di atas kepala, bumi di bawah kaki saya, saya Lim Lian Geok tidak pernah menyerah kalah! Hidup dengan bermaruah! Saya tidak pernah melarikan diri,” – telah dianggap epik dan modal pembakar semangat perjuangan pendidikan Cina.

Tiada ulasan: