HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 Ogos 2020

Undi belah bahagi RUU Perbekalan bukti PN kerajaan sah, kata PAS


PETALING JAYA: PAS berkata, keputusan undi belah bahagi Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 yang diluluskan semalam dengan majoriti tipis menunjukkan Perikatan Nasional ialah kerajaan sah kerana memiliki sokongan majoriti ahli Parlimen.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, undian belah bahagi itu juga menunjukkan Pakatan Harapan hipokrit kerana menolak RUU berkenaan sedangkan gabungan pembangkang itu mendesak kerajaan membahaskan segera bantuan untuk rakyat pada sidang Parlimen Mei lalu.

“PH gemar bermain politik. Peruntukan seperti Prihatin (Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat) dan Penjana (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) bertujuan membantu ekonomi rakyat dan negara turut didesak untuk dibahaskan.

“Apabila, RUU Perbekalan yang bertujuan sama telah dibahaskan, mereka menolak pula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, RUU yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 21 Julai lalu diluluskan dengan 111 undi menyokong dan 106 ahli Parlimen menolak, 5 lagi wakil rakyat tidak hadir.

Susulan itu, Dewan Rakyat menerima RUU itu untuk perbelanjaan perkhidmatan tahun ini daripada Kumpulan Wang Disatukan sebanyak RM7,184,083,200.

Ini berikutan penyusunan semula beberapa kementerian, penubuhan beberapa kementerian baru dan pembubaran sebuah kementerian sejajar pembentukan Kabinet baru pada 10 Mac lalu.

Tiada ulasan: