HALAMAN SANTAI

Sabtu, 10 Oktober 2020

Anwar PM baru?


PADA
 23 September lalu iaitu beberapa hari sebelum hari mengundi Pilihan Raya Negeri Sabah 26 September baru-baru ini, Presiden PKR Anwar Ibrahim telah mengejutkan dunia apabila mengisytiharkan dalam satu sidang akhbar yang beliau telah punya sokongan lebih dua pertiga Ahli Parlimen dan dengan itu akan membentuk kerajaan baru menggantikan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Anwar sokongan yang dianggap kukuh dan meyakinkan itu akan dipersembahkan beliau kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan Tuanku. Ini bermakna beliau akan naik sebagai Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin.

Ramai yang tersentak dengan pengisytiharan terdesak itu malah Bursa Saham Malaysia terus memberi reaksi negatif apabila indeks jatuh sejurus mendengar kenyataan Anwar itu. Soalnya apakah benar Anwar memiliki angka sebagaimana dinyatakan itu?

Ketika itu ramai beranggapan pengisytiharan berkenaan sengaja dilakukan untuk mempengaruhi Pilihan Raya Negeri Sabah. Mengikut maklumat WARISAN Plus di bawah pimpinan Ketua Menteri ketika itu, Shafiee Apdal sedang mendahului Gabungan Rakyat Sabah atau GRS dan pengumuman Anwar itu dijangka mendorong para pengundi Sabah untuk memberikan ‘pukulan maut’ pada calon-calon GRS dari Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan PBS.

Namun Pilihan Raya Negeri berjalan dengan lancar pada 26 hari bulan berkenaan dan malangnya WARISAN Plus pula kecundang malah PKR sendiri tewas di 5 dari 7 kerusi yang ditandinginya, itupun hanya menang melalui calon-calon bukan-Muslim nya.

Jika benar pengumuman Anwar itu bermaksud mempengaruhi keputusan PRN berkenaan ternyata ia telah lari jauh dari sasaran, yang menerima ‘pukulan maut’ bukannya GRS tetapi WARISAN Plus sendiri.

Bukan sahaja Anwar tidak naik-naik sebagai PM, Shafiee sendiri hilang kerusi Ketua Menterinya. Kini sudah hampir dua minggu berlalu, Anwar masih belum diangkat sebagai PM, manakala Muhyiddin dan rakan-rakan dalam GRS sedang gembira meraikan kemenangan mereka di Sabah dengan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor diangkat sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru menggantikan Shafiee.

Ramai mula mempertikaikan kredibiliti dan kewarasan Anwar dalam membuat pengumuman 23 September itu. Seorang demi seorang pemimpin dan Ahli Parlimen yang dikaitkan dengan langkah sumbang Anwar itu masing-masing menafikan mereka bersama Anwar malah menyerang Anwar kerana membabitkan mereka dalam langkah ‘Mat Jenin’-nya.

Seorang rakan wartawan kanan menyatakan bahawa Anwar sesungguhnya berbohong, dan mungkin telah terpedaya oleh sesetengah pihak yang berkemungkinan telah meyakinkan beliau bahawa mereka memperolehi sokongan dari pihak-pihak tertentu. Apabila pihak yang berkenaan tidak muncul-muncul, tercalar dan hodohlah maruah Anwar.

Kita sangkakan semuanya telah berlalu dan mandat yang diperolehi oleh GRS di Sabah sebenarnya adalah isyarat penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Pusat pimpinan Muhyiddin. Tiada berita palsu atau perakuan tidak masuk akal yang mampu menjejaskan imej dan kedudukan teguh Muhyiddin sebagai PM dan arkitek kemenangan PRN Sabah.

Namun rupanya pihak Anwar masih belum berpuas hati. Entah atas rasional dan perkiraan apa, konco-konconya masih memainkan isu peralihan kuasa ini tanpa sedikit pun berasa bersalah. Terbaru sebuah portal berita memaparkan senarai 121 Ahli-ahli Parlimen yang kononnya akan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Walaupun senarai ini terdedah ke pengetahuan umum tetapi rata-rata rakyat jelata sudah tidak lagi tergiur apatah lagi menaruh keyakinan atau kepercayaan pada Anwar. Ternyata Anwar benar-benar bagaikan ‘Mat Jenin’ dan tidak mampu lagi mencuri pengaruh sebagaimana dahulu.

Bayangkan antara pimpinan yang namanya disebut dalam senarai 121 itu adalah Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Shahidan Kasim dan Tajuddin Abd Rahman. Munasabahkah mereka ini tersenarai mahu dan tergiur bersubahat dengan Anwar dan DAP untuk menjatuhkan kerajaan?

Sedangkan umum mengenali ketiga-tiga tokoh ini sebagai antara mereka yang paling vokal menyerang dan menolak Anwar dan DAP. Juga tersenarai adalah Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi dan bekas Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak. Termasuk juga Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Dato Seri Azalina Othman Said.

Dari manakah Anwar memperolehi sokongan mereka ini? Benarkah mereka sokong atau Anwar tertipu oleh pihak-pihak tertentu dan akibatnya membabitkan nama-nama mereka sedangkan mereka tidak tahu menahu.

Kini setelah lebih dua minggu berlalu Anwar semakin terhimpit, rakyat mula hilang kepercayaan terhadap beliau dan malah difahamkan rakan-rakannya dari DAP dan PAN juga demikian. 

Tindakan sewajarnya perlu dikenakan terhadap Anwar kerana langkahnya yang amat tidak bertanggungjawab itu telah mencetuskan huru-hara ekonomi dan membangkitkan ketidak puasan hati dan kemarahan rakyat. Jangan izinkan beliau mengulangi langkah sumbang ini lagi.

Dalam situasi menangani ancaman pandemik COVID19 ini rakyat mengharapkan kerajaan lebih fokus dalam membangunkan negara dan memperjuangkan nasib mereka. Rakyat sudah bosan dengan politik yang mahu mencetuskan ketegangan dan porak peranda. 

Anwar cukup-cukuplah berpolitik seumpama ini dan sebaliknya beri tumpuan pada tugasnya selaku Ketua Pembangkang Dewan Rakyat.

Setelah kecundang dalam 7 Pilihan Raya Kecil berturut-turut seluruh negara dan kini dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pula, Pakatan Harapan mahupun WARISAN Plus sudah menerima pengajaran dari rakyat. 

Rakyat mahukan politik yang matang yang menjanjikan kesejahteraan buat mereka. Agenda politik peribadi dan perjuangan parti yang rasis, Cauvinis dan ekstrem sesungguhnya tidak lagi mendapat tempat di hati rakyat.

Belajarlah menjadi pembangkang yang setia dan berperanan. Jangan gopoh dan gelabah kerana suka tidak suka, kini adalah giliran Muhyiddin dan kumpulannya.

#Sumber : Harakahdaily   

Tiada ulasan: