MALAYSIAKINI
Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua rakyat khususnya ahli politik supaya bermuhasabah agar negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik tidak menentu.
Ini lebih-lebih lagi dalam suasana pandemik Covid-19 yang menyaksikan rakyat terus berdepan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar.
Menerusi satu kenyataan media, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al Sultan Abdullah turut mengulangi titah nasihat Seri Paduka Baginda kepada ahli-ahli parlimen,semasa istiadat perasmian pembukaan penggal ketiga parlimen ke-14 pada bulan Mei lalu,untuk mempamerkan kematangan dalam berpolitik.
“Al Sultan Abdullah juga menasihatkan ahli-ahli parlimen supaya memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat.
“Seri Paduka Baginda menegaskan ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan tetapi sebaliknya menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses-proses perundangan yang termaktub di dalam perlembagaan persekutuan,” katanya.
Kenyataan Biro Politik Umno pada 13 Oktober yang menyatakan bahawa parti itu sedang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan mahukan syarat baru ditetapkan menyebabkan situasi menjadi semakin rumit.
Ini merupakan isyarat rasa tidak puas hati para pemimpin Umno dan beberapa pimpinannya kini secara terbuka mengkritik kepimpinan Muhyiddin.
Pada kenyataan medianya, Al Sultan Abdullah juga menyentuh mengenai penguatkuasaaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta kewujudan beberapa kluster baru.
Sehubungan itu, Seri Paduka baginda menitahkan agar semua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa selamat. Ini bagi memohon ihsan Allah SWT agar penularan wabak Covid-19 itu dapat dibanteras dengan berkesan dan segera.
“Seri Paduka Baginda menasihati seluruh rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard dan tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak-pihak berkuasa memerangi penularan Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara.
“Mengambil keberkatan sempena hari Jumaat yang mulia ini, Al-Sultan Abdullah turut menyeru seluruh rakyat untuk berdoa semoga negara yang kita cintai bersama ini dikurniakan keamanan dan ketenangan agar kemakmuran dan kesejahteraan negara serta rakyat entiasa terjamin,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan