HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Oktober 2020

Rahim Thamby Chik saman DAP

azrulhakimie

 

Fitnah beliau dengan mengaitkan dengan pelbagai skandal

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik memfailkan saman terhadap Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Khoo Poay Tiong dan parti itu yang didakwa memfitnah beliau dalam satu artikel kerana mengaitkannya dengan pelbagai skandal.

Abdul Rahim, yang juga ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia, memfailkan saman itu menerusi firma guaman The Chambers of Frida pada 17 Sept lepas.

Selain Khoo, Abdul Rahim turut menamakan Pengerusi Kebangsaan DAP Tan Kok Wai, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai defendan kedua hingga keempat.

Dalam penyataan tuntutannya, Abdul Rahim mendakwa pada 16 Dis 2018, Khoo yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka, telah menulis, menerbit dan/atau menyebabkan untuk diterbitkan satu artikel mengandungi perkataan fitnah yang mengaitkan beliau dengan pelbagai skandal di laman Facebook milik defendan pertama, laman sesawang DAP www.dapmalaysia.org dan portal berita www.thestar.com.my.

Plaintif mendakwa Tan, Gobind dan Lim pula telah menerbitkan dan/atau menyebabkan untuk diterbitkan artikel itu di laman sesawang DAP sehingga ia boleh diakses serta dikongsi di blog, forum dan portal tanpa batasan.

Abdul Rahim mendakwa kata-kata fitnah itu telah menggambarkan, antara lain, beliau seorang yang korup, terlibat dengan jenayah seksual, salah guna kuasa serta penyelewengan dan beliau menegaskan bahawa tuduhan tersebut adalah tidak benar, tidak berasas serta diterbitkan dengan niat jahat.

Plaintif, yang meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka pada Oktober 1994, berkata tuduhan dan sindiran itu memberi manfaat kepada defendan pertama sebagai ahli politik tetapi pada masa sama, akan menyebabkan kerosakan maksimum terhadap reputasi beliau.

Abdul Rahim mendakwa walaupun beliau melalui peguamnya telah meminta Khoo menarik balik artikel itu dan memohon maaf melalui surat tuntutan bertarikh 18 Feb 2019 namun defendan pertama enggan berbuat demikian malah bertindak mencabar plaintif untuk menyamannya.

Beliau berkata akhbar The Star telah menerbitkan suatu pernyataan pada 27 Julai 2019 bertajuk “Sorry, Rahim Tamby Chik is not father of scandals” bagi memohon maaf berhubung penerbitan artikel itu yang didakwa memfitnahnya.

Sehubungan itu, Abdul Rahim menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Beliau juga meminta mahkamah mengeluarkan perintah agar defendan membuang artikel itu daripada laman Facebook dan laman sesawang www.dapmalaysia.org serta menerbitkan permohonan maaf secara bertulis di akhbar dan majalah.

Berdasarkan senarai mahkamah, pengurusan kes itu telah ditetapkan pada Isnin ini secara dalam talian melalui sistem e-Review di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Idamasliza Maarof. – Bernama

Tiada ulasan: