PETALING JAYA: Keputusan Umno untuk meneliti semula sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendorong penganalisis politik meramal bahawa parti itu menggunakan dakwaan Anwar Ibrahim berhubung sokongan majoriti di Parlimen untuk mendesak perjanjian yang lebih baik daripada PPBM.
Azmi Hassan, yang sebelum ini berkhidmat di Universiti Teknologi Malaysia berkata, beliau yakin Umno tidak lagi mahu “dipermainkan” oleh PPBM dan dakwaan Anwar itu berperanan sebagai pemangkin kepada parti itu untuk menuntut syarat baru bagi sokongannya kepada pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, parti itu kini berusaha memperkukuh dominasinya dalam kerajaan PN.
Pada Selasa, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, parti itu akan mempertimbangkan langkah untuk menarik balik sokongannya kepada PN.
Ahmad, yang bercakap selepas mesyuarat Biro Politik Umno, berkata, syarat baru parti itu akan dikemukakan dalam pertemuan dengan Muhyiddin bagi memastikan kerjasama politik itu akan kekal.
Azmi berkata, Muhyiddin mungkin tidak mempunyai pilihan selain memenuhi tuntutan Umno.
Umno, yang mempunyai bilangan ahli Parlimen yang agak besar belum mendedahkan tuntutannya kepada umum.
“Tetapi Umno juga perlu berhati-hati dengan tuntutannya,” kata Azmi. “Ia tak boleh kelihatan seperti tak masuk akal.”
Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Umno perlu bertindak tegas selepas pilihan raya Sabah, yang menyaksikan ia memberi “terlalu banyak kelonggaran” kepada PPBM dari segi pembahagian kerusi dan jawatan dalam Kabinet negeri.
Katanya, sekiranya tidak, parti itu berdepan risiko dilihat sebagai lemah.
“Umno perlu putuskan hubungan dengan PN supaya ia tak tewas dalam rundingan kerusi pada pilihan raya umum akan datang.
“Ia memiliki kerusi terbanyak dan seharusnya berada pada kedudukan lebih baik dalam hubungan dengan PPBM dan PAS.”
Awang Azman juga berkata, PN perlu segera bersetuju dengan tuntutan Umno kerana kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan gabungan pemerintah itu tumbang.
Belia berkata, “suara minoriti” dalam Umno yang menyokong Muhyiddin dan pentadbirannya tidak lagi mampu berbuat demikian.
“Sekiranya menentang, mereka akan digugurkan dalam pilihan raya akan
datang atau mereka akan diminta oleh akar umbi supaya meninggalkan parti
kerana Umno sudah menetapkan nada masa depannya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan