HARAKAH DAILY
KUALA LUMPUR: Langkah di pihak Pakatan Harapan (PH) Plus untuk meraih kedudukan Perdana Menteri dan menubuhkan kerajaan baharu menunjukkan pemerintahan negara seperti ditentukan oleh dua tiga individu.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Andansura Rabu berkata, disebalik pengakuan kononnya mereka berpakat, tetapi PH masih berkemelut soal jawatan Perdana Menteri ketika kerajaan mereka sudahpun tumbang.
Menurutnya, keadaan tersebut memperlihatkan seolah-olah ketetapan atau keputusan besar politik melibatkan pemerintahan negara boleh berlegar atau mengikut selera oleh hanya beberapa orang sahaja.
Terang beliau, sikap mereka yang terus merebut kuasa itu bukan sahaja saling mengkhianati antara satu sama lain, malah telah mengabaikan aspirasi dan mandat rakyat pernah PH sandarkan sebelum ini.
“Mereka akan sentiasa mengambil pendekatan memanaskan suasana politik untuk dilihat mereka masih relevan atau untuk kekal relevan (dalam politik) itu saja. Mereka akan cari cara, kaedah untuk nak memanaskan pentas politik.
“Juga nak mencorakkan agenda mereka itu melalui kaedah dan cara yang melihat mereka itu masih diperlukan ataupun masih didengari oleh rakyat, rakyat tak lupa dia. Kalau tidak rakyat akan lupa, mereka akan dilupakan.
“Sebelum ini mereka mempersoalkan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri. Terus menggelarkan ini sebagai kerajaan pintu belakang. Mengatakan bahawa ini bukan mandat rakyat, itu dimainkan,” ujarnya.
Menurut Andansura yang juga ADUN Beserah, dalam situasi kemelut pandemik COVID-19 ketika ini sepatutnya semua pihak memberi tumpuan untuk negara dan rakyat berada dalam keadaan lebih baik dan selamat.
Bahkan peringatnya, ahli-ahli politik mesti perlu menyahut seruan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa membuka Sidang Parlimen lalu supaya tidak mengheret rakyat dalam kemelut politik berpanjangan.
Rakyat katanya, berdepan dengan satu cabaran kehidupan sangat sukar yang mana memerlukan pemimpin memikirkan untuk memberi pertolongan dan bantuan penyelesaiaan permasalahan atau sekurang-kurangnya ringankan.
“Jadi, kalau kita tidak beri sokongan kepada Perdana Menteri yang ada pada hari ini untuk meneruskan dan juga membantu menyelesaikan permasalahan, janganlah pula kita menimbulkan masalah yang lain,” ujarnya. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan