HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 Oktober 2020

Pakar: Dr M silap isu LTTE, tangkap, bicara semula pemimpin DAP


PETALING JAYA:Kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) masih merupakan gerakan pengganas yang berisiko besar kepada Malaysia dan negara lain.

Pakar Kajian Strategik dan Anti-keganasan Universiti Malaysia Perlis, Mizan Mohammad Aslam berkata, LTTE masih diharamkan di kebanyakan negara.

“LTTE juga tidak pernah mengaku kalah dan meletakkan senjata dalam perjuangan mereka menegakkan negara Tamil, yang mengatakan mereka kalah adalah kerajaan Sri Lanka, bukan LTTE sendiri.

“Malah ancaman LTTE diteruskan hingga kepada penubuhan TGTE (Transnational Government of Tamil Eelam),” katanya kepada FMT.
 
 Komen Mizan menyusuli kenyataan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad sebelum ini yang mengesahkan beliau menulis surat awal tahun ini kepada menteri dalam negeri pada waktu itu dan meminta LTTE dikeluarkan daripada senarai pertubuhan pengganas.

Mizan berkata, di Malaysia 25 tangkapan telah dibuat, termasuk 12 yang terbaru membabitkan LTTE.

“Sejumlah besar wang masih disalurkan ke Sri Lanka oleh penyokong LTTE melalui sistem pindahan wang tradisional atau hawala dan juga melalui penggurup wang berlesen.

“Beberapa transaksi dan pergerakan senjata api dari Korea Utara dan Russia ke Sri Lanka dikoordinasikan di Malaysia.

“Pada tahun 2018-2019, beberapa ahli LTTE juga ditangkap di Kanada, AS dan German kerana menyalurkan bantuan dana dan senjata untuk perjuangan kumpulan itu,” katanya yang juga ahli panel pakar deradikalisasi Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Mahathir silap isu LTTE

Mizan menyifatkan tindakan Mahathir mengarahkan LTTE digugurkan daripada senarai pertubuhan pengganas sebagai silap.

“Tun Mahathir sepatutnya membuat kajian terperinci berkaitan isu ini dengan menggunakan instrumen risikan di Jabatan Perdana Menteri dan lain-lain agensi.

“Beliau juga sepatutnya meminta nasihat pelbagai agensi pemegang taruh seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Majlis Keselamatan Dalam Negara, polis, tentera dan lain-lain,” katanya.

Pada 3 Sept Mahathir mengesahkan menulis surat awal tahun ini kepada menteri dalam negeri supaya LTTE dikeluarkan daripada senarai pertubuhan pengganas.

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun menafikan surat itu menandakan beliau menyokong LTTE, sebaliknya menolak tindakan yang diambil ke atas beberapa individu sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Mizan bersetuju supaya kes pendakwaan terhadap 12 rakyat Malaysia yang didakwa terbabit dalam aktiviti LTTE yang digugurkan sebelum ini, dibuka semula.

“Mereka yang dituduh terlibat dalam kumpulan pengganas LTTE perlu ditangkap dan dibicarakan semula. Ia masih merupakan gerakan yang memberikan ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara.

“Mereka berselindung di sebalik parti politik dan NGO tertentu untuk menyalurkan ideologi dan menjalankan aktiviti haram.

“Malaysia perlu bertindak tegas dalam isu LTTE, beberapa pemimpin DAP yang terlibat secara langsung dalam aktiviti LTTE perlu ditangkap dan dibicarakan dengan adil.

“Jika didapati bersalah mereka seharusnya dihukum dan dilepaskan pula bagi yang tidak bersalah,” katanya.
 
 “Saya gesa kerajaan dan peguam negara baru membuka semula kes LTTE. Tangkap semula penyokong LTTE. Tindakan membebaskan semua yang tertuduh perlu disemak semula,” katanya.

Beliau berkata, gerakan LTTE lebih berbahaya daripada kumpulan militan Daesh dan IS.

Pada Oktober 2019, 12 individu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) kerana didakwa mempunyai hubungan dengan LTTE, iaitu sebuah pertubuhan bersenjata yang berjuang bagi mewujudkan sebuah negeri Tamil yang merdeka di Sri Lanka.

Individu terbabit, termasuk 2 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mewakili DAP menafikan dakwaan itu dengan berkata, bendera, poster dan gambar yang ditemui dalam milikan mereka hanya melambangkan simpati kepada minoriti Tamil di Sri Lanka.

Pada 21 Februari peguam negara ketika itu Tommy Thomas memutuskan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap 12 individu terbabit dengan berkata, “tiada prospek realistik” untuk sabitan mereka di bawah mana-mana daripada 34 pertuduhan yang dikenakan.

Bagaimanapun, sehari kemudian, Muhyiddin yang ketika itu merupakan menteri dalam negeri berkata, pihaknya masih mengklasifikasikan LTTE sebagai kumpulan pengganas sejak 12 November 2014. – FMT

Tiada ulasan: