HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 Oktober 2020

Shahrir mahu ‘bersihkan nama’, batal hasrat kemuka representasi

MALAYAIAKINI

Malaysiakini

Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Ab Samad membatalkan hasrat untuk mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya.

Perkara itu dimaklumkan peguamnya Syahrul Syazwan Salehin ketika dihubungi Bernama menerusi WhatsApp hari ini.

"Tan Sri Shahrir memutuskan untuk tidak menghantar representasi kerana beliau ingin membersihkan namanya melalui proses perbicaraan di mahkamah," katanya ketika ditanya mengenai representasi itu.

Pada prosiding 21 Mei lepas, Syahrul Syazwan memberitahu pemberita bahawa Shahrir akan mengemukakan representasi dan pihaknya akan meneliti dokumen-dokumen berkaitan terlebih dahulu dan berbincang dengan anak guamnya berhubung permohonan tersebut.

Dalam pada itu, Syahrul Syazwan berkata pihak pembelaan telah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi dan permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 30 Okt ini.

"Kami telah memfailkan permohonan itu pada 17 Ogos lepas dan permohonan itu sepatutnya didengar di hadapan Hakim Mohd Nazlan pada 8 Okt lalu, namun ditangguhkan kerana peguam utama kes dikuarantin kerana pandemik Covid-19," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Afif Ali ketika dihubungi berkata pihak pendakwaan akan membantah permohonan pembelaan itu.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menetapkan tarikh perbicaraan kes itu bermula 12 hingga 15 Okt bagaimanapun perbicaraan ditangguhkan berikutan peguam utama kes dikuarantin dan akan bermula 9 hingga 12 Nov serta 3 Dis dan pihak pendakwaan akan mengemukakan sembilan saksi.

Shahrir, 71, dituduh melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada bekas perdana menteri itu berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov, 2013.

Cek itu kemudiannya telah dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 Nov 2013.

Oleh itu, Shahrir didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram dan dituduh melakukan kesalahan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 25 April, 2014.

Pertuduhan ke atas beliau mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.- Bernama

Tiada ulasan: