Sinar Harian
Hamzah berkata, Bersatu menyeru kepada semua rakyat untuk tidak menghiraukan dakwaan Anwar. -Gambar fail
SHAH ALAM:
Semua ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal
teguh memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri yang
juga Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha
Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tidak terlintas di
fikiran semua ahli Parlimen itu untuk berpendirian sebaliknya terhadap
Perdana Menteri Malaysia kelapan itu.
Menurutnya,
dakwaan ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa
beliau mendapat sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan baharu
adalah dakwaan tidak berasas dan bersifat rekaan semata-mata.
"Percaturan
beliau (Anwar) untuk menubuhkan kerajaan baharu ini membuktikan bahawa
beliau seorang ahli politik yang mementingkan diri.
"Beliau
sanggup meletakkan cita-cita peribadi ingin menjadi Perdana Menteri
melampaui segalanya sehingga sanggup mengorbankan kepentingan rakyat.
"Dakwaan
Ahli Parlimen Port Dickson ini juga telah menambahkan kebimbangan dalam
kalangan rakyat ketika ini yang amat bergantung kepada kerajaan dalam
mengekang gelombang ketiga penularan wabak COVID-19," katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, ujar beliau, Bersatu menyeru kepada semua rakyat untuk tidak menghiraukan dakwaan Anwar.
Katanya,
rakyat diminta terus memberikan kerjasama padu kepada kerajaan untuk
mengekang penularan wabak COVID-19 dan seterusnya memulihkan semula
ekonomi negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan