HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Oktober 2020

‘Tidak salah UMNO kembali ke `Drawing Board’ untuk lebih baik’

Oleh HASIF IDRIS

PUTRAJAYA: Mana-mana parti berhak melakukan perundingan semula bagi mengukuhkan Perikatan Nasional (PN) dan kaedah itu mestilah meletakkan keutamaan rakyat berbanding kehendak parti politik masing-masing.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, tidak salah untuk UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahupun Pas kembali ke ‘Drawing Board’ politik bagi melakar sesuatu yang lebih baik buat negara.

Bagaimanapun, beliau menzahirkan kekecewaan mengenai soal perebutan jawatan yang lebih menjadi keutamaan pemimpin politik daripada mengambil kira kesusahan rakyat.

“Saya sendiri dalam kebingungan kenapa tiba-tiba soal perebutan jawatan nampaknya menjadi keutamaan daripada menjaga nyawa dan keselamatan rakyat yang lebih mendesak.

“Nampaknya mereka yang diberi kepercayaan besar oleh rakyat dan lebih lama serta berpengalaman dalam politik lebih ghairah memikirkan soal kedudukan dan jawatan melebihi keperluan berkhidmat kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan memuat naik status dalam Facebook rasminya yang menggesa perpaduan orang Melayu perlu diperkuatkan kerana menjadi asas kestabilan politik negara.

Menurutnya, tiga parti politik utama dalam PN bertanggungjawab mewujudkan perpaduan itu dan UMNO berhak menyemak kedudukannya dari semasa ke semasa bagi memperkasakan lagi muafakat yang lebih tersusun.

Mengulas lanjut, beliau yang bersuara atas kapasiti Ahli Parlimen Ketereh sedikit kecewa berhubung kritikan sesetengah pihak yang menuduhnya cenderung kepada pihak tertentu.  

Jelasnya, usaha mesti dibuat ke arah penyatuan orang Melayu bagi mengelakkan perpecahan kerana kerajaan berada dalam situasi yang sangat kritikal mendepani ancaman Covid-19.

“Tidak puas hati akan datang sepanjang masa dan itu bukanlah alasan hendak bergaduh. Jangan buat rakyat menjadi semakin susah, pasaran saham makin merudum dan pelabur juga semakin ramai tidak datang. Saya tidak rasa kita memberikan keadilan kepada rakyat kalau ambil pendekatan sebegitu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: