HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Oktober 2020

Titah Agong Terjemah Prinsip Raja Berperlembagaan, UMNO Bukan Punca Kemelut Politik

Saya menjunjung kasih atas keprihatinan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang telah menzahirkan pendirian tentang betapa pentingnya untuk menghormati mekanisme semak dan imbang antara pelbagai cabang kerajaan dan peranan Seri Paduka Baginda supaya dapat mengimbangi pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa, serta menegaskan pentingya prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen diterjemahkan dalam pentadbiran negara.

Ini menunjukkan kebijaksanaan Raja-Raja Melayu dalam membantu menguruskan masalah politik yang berlaku sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu. Raja-Raja Melayu masih berpegang kepada prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong telah menitahkan supaya ahli-ahli politik menghentikan politicking (permainan politik) yang boleh mengganggu kestabilan negara malah menyatakan kerajaan sedia ada telah berjaya dalam usaha mengatasi wabak covid-19 yang telah berlarutan sejak Februari yang lalu, walaupun tidak bersetuju dengan cadangan kabinet yang memohon untuk melaksanakan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak covid-19 dari terus merebak.

Saya percaya, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu telah melihat melalui tilik pandang dengan penuh teliti dan menyimpulkan kemelut yang berlaku sebenarnya permainan politik.



 

Justeru Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong juga telah menasihatkan supaya ahli-ahli parlimen melihat Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di parlimen adalah suatu yang sangat penting kepada rakyat dalam menangani wabak covid-19 dan memulihkan ekonomi negara, termasuklah peruntukan kewangan yang diperlukan oleh barisan hadapan yang sedang menjalankan tugas.

Oleh yang demikian, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan kesejahteraan, tanpa mengira latar belakang masing-masing perlu mentaati nasihat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong yang merupakan kuasa tertingi negara. Maka tidak wajar untuk sebarang tindakan menuntut pilihan raya ataupun undi tidak percaya di parlimen dalam masa terdekat.

Saya berpendapat kemelut politik yang sedang berlaku ialah kebimbangan YAB Perdana Menteri tidak mendapat sokongan majoriti ekoran peristiwa YBM Tengku Razaleigh Hamzah (Ahli Parlimen Gua Musang) mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, pada September yang lalu dan pertemuan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong susulan kenyataan YB Dato’ Seri Dr. Zahid Hamidi, Presiden UMNO yang tidak dapat menghalang ahli parlimen UMNO yang menyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

YAB Tan Sri Muhyidin Yasin telah dilantik sebagai Perdana Menteri setelah disokong oleh ahli-ahli parlimen UMNO/BN, PAS dan Gabungan Parti Sarawak, selain ahli-ahli parlimen PPBM, penyokong Dato’ Seri Azmin Ali (dalam PKR) dan ahli-ahli parlimen UMNO yang melompat parti.

Kalau dilihat secara menyeluruh, komposisi yang paling besar menyokong Perdana Menteri adalah dari blok UMNO/BN. Namun, kedudukan ahli kabinet yang dilantik tidak menggambarkan kehadiran ‘muka’ UMNO dalam kerajaan kerana hanya seorang Naib Presiden dari kalangan pimpinan tertinggi (Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden) parti yang dilantik. Penjawat jawatan ini telah dipilih oleh ahli ketika parti tidak menjadi kerajaan

 .

Oleh itu, parti tidak dapat menterjemahkan hasrat dan pandangannya dalam kerajaan, apatahlagi untuk mempertahankan kerajaan, berbanding dengan pimpinan parti-parti lain yang menganggotai kerajaan. Selain dari itu, peristiwa yang berlaku dalam Pilihanraya Negeri Sabah yang dikatakan “UMNO/BN telah dibuli” oleh Perikatan Nasional juga telah memanaskan lagi kemelut politik ini, di samping kerjasama ikhlas yang tidak bertulis telah menyebabkan UMNO telah tersingkir dari memimpin Kerajaan Negeri Sabah.

Oleh itu, kemelut ini tidak boleh dilihat hanya UMNO sahaja seolah-olah menjadi puncanya. Keikhlasan UMNO memberikan 11 “kerusi lompat” kepada PPBM adalah bukti UMNO sedia bekerjasama dengan Perikatan Nasional.

Saya melihat, tuntutan utama UMNO hanya dua sahaja, pertama; semua bentuk kerjasama UMNO/BN dan PPBM/PN hendaklah ditulis dengan nyata supaya boleh dijadikan panduan oleh keduanya, dan kedua; melihat semula anggota kabinet supaya kahadiran UMNO itu melambangkan kerjasama yang kuat dalam kerajaan.

Bagi saya, kemelut politik ini hanya boleh diselesaikan oleh YAB Perdana Menteri sahaja, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional. YAB Perdana Menteri sewajarnya menunjukkan sikap berjiwa besar di sebalik panggilan manja “abah” yang membawa pengertian seorang bapa yang penyayang.

Saya yakin dan percaya kepimpinan tertinggi UMNO tidak akan sekali-kali lari dari landasan untuk menyokong kerajaan tanpa Dap.


(*) DATUK MD. JAIS SARDAY - Ketua UMNO Bahagian Kluang, Johor

Tiada ulasan: