Bernama
Agong
juga menyatakan kerajaan sedia ada telah menangani pandemik COVID-19
dengan baik dan berkesan, seterusnya membuat keputusan tiada keperluan
melaksanakan perintah darurat seperti dicadangkan. - Bernama
KUALA LUMPUR:
Peringatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah supaya ahli-ahli politik menghentikan segera
politiking yang boleh menggugat kestabilan negara seharusnya dipandang
serius semua pihak demi kesejahteraan rakyat.
Penekanan
Seri Paduka kepada Belanjawan Negara 2021 dalam kenyataan Istana Negara
pada Ahad, juga dilihat bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya situasi
'government shutdown' atau kerajaan hilang fungsi akibat perbuatan politiking.
Yang
di-Pertuan Agong juga menyatakan kerajaan sedia ada telah menangani
pandemik COVID-19 dengan baik dan berkesan, seterusnya membuat keputusan
tiada keperluan melaksanakan perintah darurat seperti dicadangkan.
Felo
Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) dan pensyarah kanan di
Pusat Perdana Pengajian Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi, Fakulti
Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr
Muhammad Fathi Yusof berkata fokus semua pihak, khususnya ahli politik,
seharusnya kepada usaha untuk menangani wabak COVID-19.
"Kenyataan
berterus terang Tuanku bahawa tiada keperluan Ahli-ahli Parlimen
meneruskan usaha yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia
ada.
"Baginda juga menganggap bahawa tindakan seumpama itu sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab.
"Selain
itu, ingatan berkaitan Belanjawan Negara 2021 juga amat signifikan. Ini
juga perlu diberi perhatian yang serius," katanya kepada Bernama.
Yang
di-Pertuan Agong selepas berbincang dengan Raja-Raja Melayu semalam
memutuskan tiada keperluan melaksanakan perintah darurat seperti
diusulkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menangani
pandemik COVID-19 yang dilaporkan terus meningkat di negara ini.
Setakat ini, Malaysia mencatatkan 26,565 kes COVID-19 termasuk 9,202 kes aktif.
Seri
Paduka bagaimanapun mengingatkan supaya semua ahli-ahli politik
menghentikan segera tindakan politiking yang boleh menggugat kestabilan
pemerintahan negara.
Kerajaan Perikatan
Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin yang dijadual membentangkan Belanjawan
Negara 2021 bulan depan, dijangka berdepan dengan cubaan pihak
pembangkang untuk menjatuhkan beliau, termasuk melalui usul undi tidak
percaya di Dewan Rakyat.
Penganalisis
politik yang juga pensyarah kanan komunikasi dari Universiti Putra
Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berkata keputusan Yang di-Pertuan
Agong itu tepat dengan keperluan rakyat dan negara.
Katanya,
kini terpulang kepada ahli politik, sama ada kerajaan atau pembangkang,
untuk membuktikan kematangan politik mereka ketika rakyat berdepan
dengan pandemik COVID-19 dan kemelut ekonomi.
"Masa
untuk tunjukkan kesepaduan demi kepentingan rakyat. Kita tak mahu
pergolakan politik terus berlaku. Hindarkan konfrantasi politik. Masanya
untuk tunjuk kematangan politik," katanya merujuk kepada pembentangan
Belanjawan 2021.
Pakar pelembagaan yang
juga Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi
Mara (UiTM), Prof Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata kenyataan Istana
Negara itu menunjukkan kepercayaan tinggi Yang di-Pertuan Agong dan
Raja-Raja Melayu kepada kerajaan dalam menangani wabak COVID-19.
Walaupun
Al-Sultan Abdullah menolak pelaksanaan darurat, katanya, Seri Paduka
Baginda memberi peringatan kepada ahli-ahli politik supaya tidak
menggugat kestabilan pemerintahan negara.
"Tuanku
juga beri bayangan mengenai pentingnya Belanjawan negara 2021 untuk
rakyat. Baik kerajaan atau pembangkang, kena tengok perkara ini.
(Kalau
kita lihat) objektif teragung (dalam kenyataan Istana Negara) adalah
untuk kesejahteraan dan kebajikan rakyat," katanya Shamrahayu yang turut
menegaskan jika semua pihak mengamalkan sikap 'gentlemen' dalam
politik, maka mereka akan mematuhi nasihat Yang di-Pertuan Agong.
Pensyarah
Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr
Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod pula berkata dari perspektif Perlembagaan,
Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara sendiri sama ada untuk
bersetuju atau tidak untuk isytihar darurat.
Menurutnya,
langkah diambil Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dengan Raja-Raja
Melayu juga merupakan langkah ke hadapan bagi memastikan institusi
diraja memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju kerajaan.
"Keputusan
yang dibuat (Agong) selaras dengan prinsip mengutamakan kepentingan
rakyat dalam apa jua keputusan yang hendak dibuat.
"Walaupun
kerajaan mempunyai alasan untuk isytihar darurat, keputusan Yang
di-Pertuan Agong memerlukan kerajaan mengambil langkah proaktif untuk
selesaikan masalah itu," katanya.BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan