HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 Oktober 2020

Umno hanya gertak Muhyiddin, Anwar seperti disebat ‘cemeti’

Kamarazaman Yacob 


Selepas membaca kenyataan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan selepas mesyuarat biro politik, malam semalam. Saya menyimpulkan sebagai:

Umno mengambil kesempatan daripada situasi semasa. Iaitu dengan menggertak atau memberi tekanan kepada Muhyiddin Yassin.

Bukan sebenar-benar untuk keluar daripada Perikatan Nasional(PN).

Berkemungkinan untuk mencapai hasrat Umno dalam pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Juga untuk kepentingan Umno di dalam kerajaan.

Soal pembahagian kerusi adalah untuk mendapatkan kembali kerusi yang dibawa “lari” ahli-ahli Parlimen yang menyertai Bersatu.

Mungkin Umno cuba menekan Muhyiddin, untuk mendapatkan kerusi timbalan perdana menteri yang dituntut sejak pembentukan kerajaan PN.

Muhyiddin sentiasa mengelak. Peringkat awal, dimatikan dengan melantik empat menteri kanan.

Mungkin Umno dapat menghidu akan berlaku satu bentuk penjajaran politik baru.

Iaitu dengan pembentukan “Kerajaan Perpaduan”. Satu “united front” yang luas. Pembentukan yg menyeluruh, seperti pembentukkan Barisan Nasional (BN) semasa zaman Abdul Razak Hussain.

Oleh itu, Umno sudah bersedia dari awal, memberi gambaran kepada rakyat mereka tidak terikat kukuh atau tersimpul kejap bersama PN.

Dengan itu, apabila sampai waktu untuk meninggalkan PN, Umno tidak dianggap sebagai oportunis.

Sekiranya berlaku penjajaran baru, berkemungkinan besar tokoh di luar kuasa sekarang, dipilih kerana tidak dimusuhi kedua-dua pihak.

Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li, mungkin dalam kalangan tokoh yg menjadi perhatian.

Bagaimanapun,tokoh di dalam kerajaan turut menjadi perhitungan.

Penjajaran baru ini, tentulah bertujuan untuk menstabilkan politik negara.

Ini diasaskan kerana kerajaan PN di bawah Muhyiddin, agak tidak stabil, dengan majoriti lebih kurang lima kerusi.

Bila kerajaan lebih stabil, maka soal-soal berkaitan ekonomi lebih mudah diuruskan. Keadaan dan kedudukan Bursa Saham lebih stabil. Kepercayaan pelabur lebih meyakinkan.

Dalam kalangan pemimpin Umno dan penyokong parti tersebut, mereka melihat kedudukan parti itu dalam politik dan kerajaan PN, semakin terhakis.

Oleh itu mereka merasakan Umno perlu membuat sesuatu.

Jalan yang ada, adalah mencari peluang untuk melakukan penjajaran atau turut terlibat dalam proses penjajaran.

Sekiranya berlaku penjajaran baru, maka Umno akan mencelah dan akan menerpa ke hadapan untuk menjadi pemain utama.

Tujuannya untuk mendapat laba. Dan mengembalikan Umno sebagai pemain utama politik Malaysia.

Saya percaya, sekiranya berlaku penjajaran baru ini, Anwar Ibrahim, bukanlah orang yang akan diamanahkan untuk memimpin negara.

Kenyataan dari Istana Negara semalam, adalah cemeti yang dirembat kepada Anwar.

* Kamarazaman Yacob adalah bekas aktivis mahasiswa 1970-an.

Tiada ulasan: