HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Oktober 2020

Warisan akan tetap ditentang dalam PRK Batu Sapi, kata penganalisis

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 5 Dis depan sebagai hari pengundian bagi PRK 
Parlimen Batu Sapi, manakala 23 Nov hari penamaan calon dan 1 Dis pengundian awal.

KOTA KINABALU: Penganalisis berkata, Warisan tidak mungkin menang tanpa bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi akan datang walaupun beberapa parti utama di Sabah menyatakan pendirian mereka untuk tidak bertanding.

Lee Kuok Tiung.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, beliau percaya akan ada calon daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan calon bebas yang menentang Warisan di kerusi Parlimen itu.

”Saya lihat GRS akan menurunkan calon mereka dan jika tidak sekali pun, tidak mungkin Warisan akan menang tanpa bertanding di kawasan itu.

”Ini kerana sudah pasti akan ada calon bebas yang ingin bertanding selepas mengambil kira terdapat 447 calon yang bertanding bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri, baru-baru ini,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Tony Paridi Bagang dari Univeristi Teknologi Mara (UiTM) Sabah berkata, sekiranya Perikatan Nasional (PN) membuat keputusan untuk bertanding pada PRK itu, persepsi rakyat terhadap parti itu mungkin berubah.

”Tidak dinafikan jika PN bertanding, ia akan memberi saingan kepada Warisan namun pada masa sama, persepsi rakyat terhadapnya mungkin akan berubah dan akan mempertikaikan slogan prihatin rakyat kerana PRK pasti akan dikaitkan dengan peningkatan kes Covid-19.

”Dari segi demokrasi, semua parti mempunyai hak untuk bertanding, namun dengan keadaan pandemik Covid-19 pada ketika ini, sudah pasti pertimbangan untuk tidak bertanding menjadi keutamaan.

“Kes Covid-19 yang tinggi di Sabah mencetuskan persepsi rakyat bahawa pilihan raya merupakan punca kepada penularan serta peningkatan wabak itu dan ini akan mempengaruhi pengundi sama ada mahu keluar atau tidak untuk mengundi,” katanya.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula berkata, parti lain perlu mengikut jejak beberapa parti lain yang membuat keputusan untuk tidak bertanding pada PRK Batu Sapi.

”Saya kira parti lain wajar dan perlu tunjuk teladan yang baik dan mengambil iktibar daripada PRN Sabah supaya peningkatan mendadak kes Covid-19 tidak berulang.

”Semangat ini diperlukan bagi menunjukkan bahawa orang politik tidak asyik berpolitik sahaja, agar mereka tidak secara berterusan disalahkan kerana menyebabkan PRN dan kes (Covid-19) meningkat,” katanya.

Terdahulu sebelum ini, 2 parti dalam GRS, iaitu Barisan Nasional (BN) dan PBS mengumumkan tidak akan bertanding pada PRK Batu Sapi.

Selain itu, Pakatan Harapan (PH) Sabah juga membuat keputusan sam,a selain Parti Cinta Sabah (PCS) pimpinan bekas menteri persekutuan, Anifah Aman yang turut senada.

Bagaimanapun sehingga kini, beberapa parti lain, termasuk daripada PN belum menyatakan pendirian mereka sama ada akan bertanding atau tidak.

PRK Batu Sapi perlu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen berkenaan susulan kematian penyandangnya Liew Vui Kong pada 2 Okt lalu, dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Dis depan sebagai hari pengundian, manakala 23 Nov hari penamaan calon dan 1 Dis sebagai tarikh pengundian awal.

Tiada ulasan: