HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 November 2020

Annuar, jangan jadi ketua penerangan parti lain – Puad

Manzaidi Mohd Amin
MGF17072017_Majlis-Mesra-Aidilfitri-JASA_11-1
Dr. Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mengingatkan Tan Sri Annuar Musa tidak menjadikan parti itu terlalu defensif atau seperti ‘budak jahat’.

Katanya, Setiausaha Barisan Nasional (BN) itu juga tidak perlu menjadi jurucakap kepada parti lain seperti mendakwa tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Pas tidak akan bersama UMNO.

“Saya mendengar temubual Annuar yang terbaru dua tiga kali. Ada perkara yang perlu diulas. Ini bukan soal pergeseran sesama sendiri. Jangan apologatik.

“Annuar telah menjadikan UMNO terlalu defensif. UMNO macam bad boy. Kenapa perlu jadi jurucakap parti lain? Menurut Annuar tanpa PPBM, Pas tidak akan bersama UMNO.

“Tetapi, saya mahu fokus kepada kenyataan ini. Kata Annuar, UMNO lupa kita datang dari parti yang telah jatuh, sudah kalah. Bab layanan, layanan macam mana yang kita mahu,” katanya dalam hantaran Facebooknya, semalam.

Menurut Dr. Mohd Puad, memang betul UMNO kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) tetapi, menang kerusi terbanyak.

Cuma katanya, UMNO gagal mencari rakan yang cukup untuk membentuk kerajaan pada masa itu.

Ini berbeza dengan PPBM, yang menang 13 kerusi sahaja, tetapi bersama DAP, PKR, WARISAN dan Parti Amanah Negara (Amanah), berjaya menubuh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“UMNO mengiktiraf kerajaan PH. Tiada darurat. Tetapi kerajaan itu tumbang selepas 22 bulan. Lahir kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan baharu  (dibentuk dengan) dokongan bersama. Tidak timbul siapa kalah, siapa menang walaupun kerusi UMNO masih terbanyak.

“Sebagai dokongan baru, ia mesti dikongsi dengan cara yang baru. Itu yang Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid) sebut di Dewan Rakyat. Tidak timbul siapa berbudi, siapa yang terhutang budi,” kata beliau.

Dalam bab layanan, ujarnya, yang dimahukan UMNO ialah kejujuran politik dan tidak ‘tikam belakang’.

Ketua UMNO Bahagian Muar itu juga berkata, jika mahu dibahas siapa kalah siapa menang, senario selepas PRU-14 telah berubah.

Katanya, sepanjang tempoh itu, UMNO menang tujuh Pilihan Raya Kecik (PRK) dan mengalahkan PPBM dua kali ketika PH masih berkuasa iaitu di DUN Semenyih dan Parlimen Tanjung Piai.

Kata Dr. Mohd Puad, UMNO telah mengalahkan semua parti gabungan PH kecuali Parti Amanah Negara (Amanah).

“UMNO kalahkan DAP di kerusi Parlimen Cameron Highland, PKR di DUN Rantau dan WARISAN di Parlimen Kimanis.

“Bahkan, PPBM sekarang ini didokong oleh 15 ahli Parlimen lompat dari UMNO. Maka, atas asas apa Annuar mahu mengatakan PPBM 2.0 ini adalah parti menang. Zaman kebanggaan PH menang PRU-14 sudah berakhir,” katanya.

Beliau turut menyindir Annuar yang mendakwa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini beliau adalah pemain dan the sole negotiator.

“Kalau begitu apakah Annuar mengaku dia gagal sebagai perunding UMNO? Mana tidaknya, lapan kerusi yang PPBM menang itu adalah kerusi yang mereka menang atas tiket UMNO pada PRU-14.

“Kenapa semua kerusi itu terlepas kepada PPBM? Itu punca masalah,” katanya.

Ujar beliau, Annuar juga turut mendedahkan isu calon Ketua Menteri Sabah dengan menyalahkan parti sendiri lambat umum nama calon Ketua Menteri.

Katanya, soal cepat atau lambat bukan alasan tetapi kenapa Annuar membisu apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan nama Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri?

“Siapa yang tidak ada kejujuran politik? Sebenarnya jangan disembunyikan semua fakta dan fakta sebenar. Presiden lebih mengetahui.

“Sebab itu jangan mendahului presiden dalam isu dasar dan taktikal, dan jangan jadi ketua penerangan kepada parti lain,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: