HALAMAN SANTAI

Sabtu, 21 November 2020

Annuar ‘sudah mati’ dalam Umno, kata Nur Jazlan

Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed menyifatkan Annuar Musa 
sebagai figura yang ‘sudah mati’, manakala veteran parti Shahrir Samad menyifatkan 
kenyataan setiausaha agung BN itu sebagai luar biasa. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed menyifatkan Annuar Musa sebagai figura yang “sudah mati” dalam perjuangan Umno.

“Dia ‘dah mati’ dalam Umno tetapi tak mahu lompat ke Perikatan Nasional (PN),” katanya ringkas kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan setiausaha agung Barisan Nasional itu yang menegaskan Umno perlu sedar diri dan tidak berhak mempersoalkan layanan diterima parti itu dalam Kabinet Muhyiddin Yassin.

Dalam satu wawancara bersama Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan anjuran Umno Online kelmarin, Annuar juga mendakwa segelintir ahli dalam parti itu sudah lupa, Umno adalah parti yang kalah dan sudah jatuh.

Di sebalik sindiran daripada pemimpin Umno itu, Shahrir Samad selaku veteran parti menyifatkan kenyataan Annuar itu sebagai luar biasa kerana dikeluarkan setiausaha agung BN, dan bukannya pemimpin PPBM atau PAS.

Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu berkata tajuk berita seperti itu sememangnya selalu lebih sensasi berbanding kandungannya bagi menarik minat pembaca.

“ ‘Umno kena sedar diri, kata Annuar Musa’. Ini macam cerita biasa sahaja, saya terfikir. Hanya yang luar biasa kali ini ialah ia pendapat Annuar Musa dan bukan lagi pendapat pemimpin muda PPBM atau PAS.

“Annuar menghuraikan bahawa pada PRU15, BN hanya ada 2 pilihan, iaitu pertama, bersendirian, atau ke-2, berpakat bersama PN,” katanya.

Bekas ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, Annuar hanya mementingkan matlamat politik berbanding asas perjuangan parti.

“Sebelum dibangkitkan ‘matlamat politik’ dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti, apa sebenarnya keputusan kepimpinan?

“Bukankah lebih waras memuktamadkan keputusan sebelum mencemuh parti sendiri seolah-olah kepimpinannya ‘tidak sedar diri’ yang kononnya PAS akan ‘pertahankan’ PN dan hanya akan ‘memperkasakan’ MN.

“Kalau belum ada keputusan, lebih baik bagi Annuar sebagai Setiausaha Agung BN tidak mendahului, malah tidak mencampuri, urusan sebuah parti komponen BN, iaitu Umno, yang tidak pernah pun memperkasakannya.”

Beliau berkata, semua pihak ketika ini hanya mampu menyaksikan sama ada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mempunyai matlamat politik untuk memperbetulkan situasi itu.

“Apa pun, kita tengok sahaja lah sama ada Zahid, selaku Presiden Umno dan Pengerusi BN, mempunyai ‘political will’ membetulkan keadaan.”

Dalam pada itu, Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin yang dihubungi FMT tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu, namun berkata ia akan diselesaikan secara dalaman.

“Biar kita urus dalaman,” katanya ringkas.

Tiada ulasan: