
KUALA LUMPUR – Sesi sidang Parlimen hari ini, mendengar keluhan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun terhadap sikap Ahli Parlimen pembangkang.
Beliau meluahkan rasa kecewa dengan pembangkang tidak memberi kerjasama kepadanya dalam memastikan perjalanan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 2020 itu berjalan lancar.
Katanya, beliau sentiasa berada di pejabat termasuk pada hari minggu semata-mata untuk bermesyuarat dan berbincang dengan Ahli-ahli Parlimen.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen dari pembangkang tidak pernah hadir, sebaliknya ‘mencuri’ masa yang terhad pada sesi persidangan bagi membangkitkan rasa tidak puas hati atau perkara berbangkit.
Tegas beliau, bukan setakat tidak hadir ke perbincangan itu, pembangkang juga tidak pernah cuba untuk bertanya atau membangkitkan persoalan menerusi aplikasi Whatsapp atau menghubunginya di talian telefon.
“Hari Ahad pun saya datang pejabat. Whatssap saya semua orang (Ahli Parlimen) tahu.
“Saya boleh datang malam pun (ke pejabat) untuk mesyuarat, tapi tak ada siapa yang hubungi.
“Ini keluhan saya. Kita ada persetujuan (untuk berbincang), kemudian tidak ada sesiapa hubungi saya untuk bincangkan apa-apa perkara sebelum ini, tetapi tiba-tiba hari ini dibangkitkan perkara ini,” katanya ketika mempengerusikan sidang Parlimen, hari ini.
Kira-kira 40 minit masa yang sepatutnya digunakan untuk perbahasan Belanjawan 2021 dihabiskan begitu sahaja akibat dari Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dengan ketetapan Dewan Rakyat memberi masa 20 minit kepada menteri menggulung perbahasan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bangun meminta Speaker supaya mempertimbangkan permohonan blok pembangkang agar memanjangkan masa perbahasan dan tidak mengehadkan kepada 80 Ahli Parlimen sahaja hadir dalam Dewan.
Bagaimanapun, Azhar menyatakan, perkara itu telah dipersetujui Ketua Whip dan tidak sepatutnya berbangkit lagi hari ini.
Namun, beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangun menyatakan tidak puas hati dengan alasan Speaker cuba menafikan hak demokrasi, yang membenarkan setiap mereka bangun mencelah, berbahas dan mengemukakan cadangan ketika menteri menggulung perbahasan.
Azhar Azizan turut menempelak Datuk Dr. Xavier Jayakumar (Kuala Langat-PKR) yang menyatakan Speaker berlaku tidak adil kepada Ahli Parlimen dari blok pembangkang, yang konon sepatutnya diberi peluang berbahas.
“YB (merujuk kepada Dr. Xavier), saya tunggu YB hampir satu jam pada hari dijadualkan untuk perbincangan, YB tidak hadir. Tidak ada seorang pun pembangkang hadir.
“Apabila saya buat ketetapan hari ini, ramai pembangkang bangun tidak puas hati. Kita sudah rugi 29 minit (ketika itu). Tapi tak apa, saya akan adakan semula perbincangan,” katanya.
Katanya, beliau akan memanggil semula Ketua Whip atau Ketua Parti
untuk berbincang mengenai masa perbahasan dan penggulungan menteri. –
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan