HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 November 2020

Lim saran PM rangka 'Belanjawan Perpaduan 2021'

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengemukakan beberapa saranan untuk Belanjawan 2021 menjelang pertemuan pemimpin Pakatan Harapan bersama Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz esok.

Lim menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk "memulakan proses perundingan Belanjawan Perpaduan 2021 dengan parti-parti pembangkang."

"Yang merangkumi dasar kewangan untuk memastikan bahawa belanjawan ini memenuhi aspirasi Yang di-Pertuan Agong untuk mengatasi peningkatan terbaru jangkitan Covid-19 dan membantu ekonomi rakyat Malaysia.

"Tidak ada pihak yang dapat mempertikaikan bahawa lebih banyak dana harus diperuntukkan untuk barisan depan negara yang sedang memerangi gelombang ketiga jangkitan Covid-19 ini.

"Walau bagaimanapun, bantuan kewangan untuk membantu sektor ekonomi negara dapat membantu menyusun belanjawan perpaduan yang menyatukan semua rakyat Malaysia," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Lim berkata terdapat keperluan untuk membantu rakyat Malaysia yang menderita akibat dampak negatif Covid-19 terhadap ekonomi.

"Belanjawan perpaduan tersebut mesti dengan jelas dan tegas menyediakan perisai ekonomi Covid-19 berjumlah RM31.4 bilion untuk menyelamatkan pekerjaan dan mata pencarian serta perniagaan yang menghadapi penutupan.

"Penguncupan KDNK 17.1 peratus pada suku kedua tahun ini berserta kenyataan oleh Menteri Sumber Manusia bahawa 1 juta rakyat Malaysia dijangka menganggur menjelang September 2020 telah menunjukkan krisis ekonomi yang memberi kesan kepada rakyat Malaysia golongan pekerja," katanya.

Menurut Lim lagi, perisai ekonomi Belanjawan Perpaduan 2021 akan menelan belanja RM31.4 bilion yang terdiri daripada "langkah tiga serampang."

"Iaitu bantuan kebajikan bulanan RM1,000 termasuk kepada mereka yang menganggur, lanjutan automatik moratorium pembayaran balik pinjaman bank selama enam bulan lagi serta insentif pengambilan pekerja untuk majikan dan pekerja.

"RM31.4 bilion ini tidak begitu besar berbanding dengan pakej RM305 bilion di bawah KitaPrihatin, yang nampaknya tidak memberikan impak yang diinginkan untuk menghidupkan semula ekonomi," jelasnya.

Lim yang juga bekas menteri kewangan berkata bantuan tunai menelan belanja RM12 bilion diikuti dengan moratorium pinjaman selama enam bulan dengan kos RM6.4 bilion.

MP Bagan juga mencadangkan perluasan skim Malaysia@Work yang diumumkan ketika Belanjawan 2020 lalu. Skim ini memberi subsidi kepada syarikat yang mengambil pekerja tempatan.

Lim menyarankan RM13 billion diperuntukkan untuk pengembangan program bagi memberi manfaat kepada 600,000 pekerja dan majikan.

"Untuk menyelamatkan dan mengeluarkan ekonomi kita daripada kemelesetan ekonomi sekarang, fokus kewangan kerajaan harus beralih daripada mengawal tahap hutang dan defisit fiskal negara, kepada meminjam lebih banyak wang.

"Obsesi untuk mengawal defisit negara untuk melindungi penarafan kredit negara perlu memberi laluan kepada strategi meminjam lebih banyak wang demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian rakyat Malaysia," katanya lagi.

Tiada ulasan: